Siakap Keli
Kredit: Bernama

Pekerja, Pemandu Bas Dakwa Tak Terima Bayaran Subsidi Upah

IPOH, 30 Jun ( Bernama) — Kira-kira 60 kakitangan Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (KBES) Taiping terdiri daripada pemandu bas, bahagian operasi dan bengkel, menuntut pihak majikan supaya melunaskan gaji yang tertunggak selama tiga bulan sejak Mac lalu.

Para pekerja turut mendakwa mereka belum lagi menerima bayaran Program Subsidi Upah (PSU) yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan, selain potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), walaupun telah dinyatakan dalam penyata gaji.

Eksekutif pemasaran KBES, Nur Hafsah Mohd Shahhearan, 24, berkata, pihak pengurusan tidak mengendahkan permasalahan yang berlaku walaupun para pekerja telah berkali-kali menyuarakan mengenai masalah tunggakan gaji dan potongan caruman tersebut.

“Sudah lah kami (pekerja) tidak dibayar gaji sejak Mac hingga Mei, kami diminta untuk datang bekerja pada 13 Jun dan sepatutnya gaji dibayar pada 23 Jun tetapi sehingga kini masih belum menerima sebarang bayaran tunggakan gaji sebanyak RM6,000,” katanya pada sidang media selepas membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja di Bangunan Persekutuan di sini, hari ini.

Pemandu bas Mohd Fakharul Rahman Mat Saleh, 35, pula berkata, beliau bersama pemandu bas yang lain telah bertanyakan kepada pihak majikan berkaitan pembayaran PSU, namun tiada jawapan yang diberikan.

“Kami sebagai pemandu bas memang tidak mempunyai gaji tetap, sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kami hilang mata pencarian dan mengharapkan bayaran PSU, dibayar kepada kami.

“Begitu juga dengan potongan caruman PERKESO dan KWSP, walaupun dalam penyata gaji sudah dipotong tetapi bila kami periksa, tiada potongan dibuat sejak 2018,” katanya yang bekerja dengan syarikat bas itu sejak tiga tahun lalu.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.