Siakap Keli

Produk Kumur Mulut Mengandungi PVP-I Mampu Cegah Penyebaran COVID-19 -Kajian

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) — Kajian sekumpulan pakar dari Malaysia dengan kerjasama syarikat farmaseutikal Mundipharma baru-baru ini mendapati keberkesanan produk kumur mulut dengan kandungan Povidone Iodine (PVP-I) di dalamnya untuk mencegah penyebaran COVID-19.

Dengan keberkesanan mematikan virus SARS-COV-2 (punca COVID-19) sehingga 99.99 peratus, kajian itu turut mendapati virus itu boleh ‘dimatikan’ dalam tempoh 15 hingga 30 saat kerana kandungan PVP-I di dalamnya.

Seorang pakar yang terlibat dalam kajian ini Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed daripada Fakulti Perubatan Universiti Sains Islam Malaysia ketika dihubungi Bernama berkata sebelum ini terdapat pelbagai jurnal artikel luar negara diterbitkan yang menyentuh mengenai keberkesanan PVP-I dan hidrogen peroksida, dengan menyarankan petugas kesihatan berkumur selepas berjumpa pesakit.

“Pesakit juga berkumur sebelum dirawat (terutamanya di klinik gigi) dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga telah mula memberikan PVP-I atau hidrogen peroksida kepada pesakit yang memerlukan rawatan pergigian.

“Penggunaan produk kumur dengan PVP-I seperti Betadine Gargle and Mouth Wash lebih kepada pencegahan kerana virus SARS-COV-2 masuk melalui mulut dan hidung. Apabila kita berkumur, cecair antiseptik akan membunuh virus yang terdapat di kawasan tekak. Oleh itu, penyebaran virus dapat dikurangkan kerana kita tahu virus merebak melalui cecair pernafasan daripada tekak dan hidung,” katanya.

Dr Nurul Azmawati dalam pada itu berkata, penggunaan ubat kumur mulut dengan PVP-I ini adalah tidak terhad kepada petugas kesihatan sahaja malah orang awam juga boleh menggunakannya sebagai langkah pencegahan.

Sebagai langkah seterusnya, beliau turut berhasrat untuk berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan untuk mencubanya kepada pesakit COVID-19.

Sementara itu, seorang lagi pakar yang terlibat dalam penyelidikan itu, Dr Pouya Hassandarvish berkata produk yang mengandungi PVP-I boleh didapati dalam bentuk cecair dan semburan mulut.

Menurut Hassandarvish, setakad ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan kerajaan yang lain telah menasihati masyarakat agar menggunakan larutan berasaskan alkohol seperti pencuci pembasmi kuman, yang didapati berkesan.

“Tetapi seperti yang anda ketahui jangkitan COVID-19 adalah menerusi mulut dan hidung, berkumur mulut boleh menjadi penyelesaian yang baik jika kita menggunakannya untuk membasmi kuman di mulut kerana kajian kami menunjukkan produk ini boleh membunuh virus berkenaan dalam masa 15 saat,” katanya dalam temubual menerusi Skype dengan Bernama TV awal hari ini.

Ketika ditanya sejauh mana lagi dunia mendapatkan vaksin untuk COVID-19, beliau berkata, setakad ini para saintis dan penyelidik sedang berusaha bersungguh-sungguh bagi menghasilkan vaksin yang dapat mengakhiri pandemik ini.

“Untuk menghasilkan vaksin, ia akan mengambil masa kerana sebaik anda memperoleh sesuatu, anda perlu melalui tempoh percubaan dan ia akan mengambil masa sama ada anda akan menerima keputusan yang positif atau tiada langsung keputusan. Jika tiada keputusan, anda perlu mencuba dari awal,” kata penyelidik pasca doktoral dari Iran di Pusat Pendidikan dan Penyelidikan Penyakit Berjangkit Tropika, Universiti Malaya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.