Siakap Keli

PRU Singapura: Proses Penamaan Calon Bermula

SINGAPURA, 30 Jun  — Semua telah bersedia untuk proses penamaan calon hari ini menandakan bermulanya pilihan raya umum (PRU) Singapura yang hari pengundian ditetapkan pada 10 Julai.

Bakal calon harus menyerahkan kertas pencalonan mereka menjelang tengah hari ini di sembilan pusat di republik itu.

Selain Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah republik itu sehingga pembubaran Parlimen pada 23 Jun, Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP) dan Parti Demokratik Singapura (SDP) juga dijangka menamakan calon mereka.

Parti lain termasuk Parti Rakyat Singapura (SPP), Parti Perpaduan Nasional (NSP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Parti Reformasi (RP) dan Parti Kuasa Rakyat (PPP).

Hanya calon dan pasukan mereka (antaranya pencadang, penyokong, penjamin) yang dibenar memasuki pusat penamaan calon.

Memandangkan prosiding berlangsung semasa negara masih berdepan ancaman COVID-19, tiada perhimpunan penyokong secara fizikal diadakan susulan garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan tetapi ia boleh diikuti menerusi saluran TV atau dalam talian.

Kira-kira 2.6 juta rakyat Singapura akan memilih 93 Anggota Parlimen peningkatan daripada 89 Anggota Parlimen sebelumnya, di 31 bahagian pilihan raya.

Perwakilan terdiri daripada 14 Kawasan Anggota Tunggal  (SMC) dan 17 Kawasan Perwakilan Kumpulan (GRC).

Ia juga merupakan pilihan raya umum keempat bagi Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP Lee Hsien Loong.

Pada pilihan raya umum 2015, PAP mengekalkan tampuk pemerintahannya memenangi 83 kerusi. Parti Pekerja memenangi enam kerusi.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah