Siakap Keli

Tiga Pekerja Rumah Kebajikan Didakwa Aniaya, Cederakan Kanak-Kanak Tujuh Tahun

Gambar sekadar hiasan

Kuala Lumpur: Tiga pekerja rumah kebajikan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di premis itu, dua bulan lepas.

Low Kam Len, 72, Ooi Kian Choo, 66, dan Jackie Yong, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka, oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.

Mereka didakwa bersama-sama menganiaya dengan tidak memberikan sumber makanan secukupnya, dan menyebabkan kecederaan secara fizikal terhadap tubuh badan mangsa di rumah kebajikan itu yang terletak di Taman Rainbow, Sentul di sini, antara 19 April hingga 28 April lepas.

Pertuduhan terhadap Low, Ooi dan Yong, dibuat mengikut Seksyen 31 (1)(A) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan mencadangkan agar ketiga-tiga tertuduh masing-masing dikenakan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin setiap seorang, selain syarat tambahan bahawa mereka perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Yong bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan jaminan di bawah RM3,000 terhadap ketiga-tiga tertuduh, selain mengecualikan mereka daripada melapor diri di balai polis, atas alasan kesemua tertuduh telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis ketika siasatan.

Low diwakili peguam Gabriel Susayan manakala peguam Gerard Lazarus bertindak bagi pihak Ooi.

Izralizam kemudian membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes.

Beliau turut membenarkan permohonan peguam agar kesemua tertuduh dikecualikan daripada melapor diri di balai polis atas faktor umur dan kerjasama baik yang diberikan kepada pihak polis, namun melarang mereka daripada mengganggu saksi.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.

Tambah komen

Dari Wiser.my

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.