Siakap Keli

Wanita OKU Meninggal Dunia, Laporan Awal Punca Kematian Akibat Sawan Rupanya Dipercayai Didera

Sesungguhnya tidak semua manusia dilahirkan dalam keadaan sempurna. Kelompok yang tidak sempurna ini atau dikenali sebagai orang kurang upaya (OKU) adalah sebahagian daripada entiti masyarakat yang perlu dihormati dan disayangi kerana Islam tidak pernah membelakangi mereka.

Kehadiran mereka yang kurang upaya adalah rahmat kepada orang lain untuk berasa bersyukur atas nikmat kesempurnaan yang dikurniakan kepada mereka. Bahkan, manusia yang normal ini berpeluang untuk meraih ganjaran apabila menghulurkan bantuan kepada mereka yang lemah itu.

Namun begitu, tidak semua manusia yang lahir dalam keadaan sempurna mampu bersikap baik terhadap golongan OKU ini. Bahkan ada yang sanggup mengambil kesempatan di atas kelemahan golongan yang istimewa ini.

Terbaru tular di laman sosial Facebook mengenai seorang wanita OKU yang meninggal dunia dan dipercayai menjadi mangsa dera. Ikuti perkongsian kisah tragis yang menimpa wanita ini oleh Natipah Abu.

اِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

Tulis, padam, tulis, padam lagi, itulah yang terjadi kali ini. Tidak tahu bagaimana hendak menulis yang terbaik. Takut ada hati yang tercalar dan ada aib yang terselak. Tetapi yang pasti, ia harus ditulis juga sebagai peringatan buat semua. Insan terpilih ini, pernah kita santuni empat tahun lalu. Dua hari yang lalu kita menerima berita bahawa dia yang yatim piatu ini telah pergi buat selama-lamanya sejak setahun yang lalu.

Berita pemergian arwah yang di dalam keadaan tragis sekali itu memang sungguh mengejutkan. Otak tidak mampu berfikir bagaimana dan mengapa itu terjadi. Apa fungsi orang sekeliling sehingga perkara ini terjadi. Laporan awal punca kematian disebabkan sawan. Tetapi siasatan polis menemui kesan yang mencurigakan.

Arwah didapati telah meninggal dunia akibat didera. Justeru itu, di sini kita ingin berpesan kalau anda di luar sana diberi tanggungjawab atau secara terpaksa perlu menjaga orang OKU tetapi tidak mahu dan tidak sanggup memikul tanggungjawab itu TOLONGLAH jangan melepaskan kemarahan, kebencian dan ketidak-puasan hati itu kepada mereka yang tidak berdosa ini.

Kalau anda berkemampuan banyak pusat jagaan berbayar di luar sana. Jika tidak mampu berundinglah dengan pihak berwajib. Ada pusat jagaan percuma oleh pihak berwajib di luar sana.

TOLONGLAH jangan menganiaya mereka yang tidak berdosa. Kasihanilah mereka, mereka tidak meminta dilahirkan begitu. Sipelaku telah pun ditahan di bawah seksyen 302 kanun keseksaan yang mana jika sabit kesalahan, membawa kepada hukuman mati mandatori.

Al Fatihah

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم
ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين

Sumber: Natipah Abu

Nor Azilah