Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Anak Dihukum Penjara 4 Tahun Lepas Bakar Dapur Rumah Ibu Sebab Tak Nak Bagi Duit

Kuala Lumpur: Seorang penganggur dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana melakukan khianat dengan membakar dapur rumah ibunya yang enggan memberikan wang kepada tertuduh.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu selepas lelaki itu mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Feb lepas.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah ibunya yang berusia 70 tahun, di Wangsa Maju di sini pada 3.30 petang 25 Feb lepas mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

”Mohon mahkamah mengambil kira kerugian mangsa dan isu keselamatan orang ramai dari segi tempat kejadian kerana kemungkinan api boleh merebak,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dan memohon maaf atas kesalahannya.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu iaitu adik perempuan tertuduh bersama ibunya berada di ruang tamu rumah dan secara tiba-tiba, jiran mereka memberitahu ada kebakaran di bilik tertuduh.

Pengadu memaklumkan bahawa sebelum itu, berlaku pertengkaran antara tertuduh dan ibunya kerana wanita tersebut enggan memberikan wang yang diminta oleh tertuduh.

Hasil siasatan mendapati tertuduh membakar tilam di dalam bilik tidurnya menggunakan pemetik api sehingga merebak ke bahagian dapur rumah itu.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.