Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Jual Pelitup Separuh Muka Tiruan, Seorang Lelaki Ditahan

Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar kegiatan menjual pelitup separuh muka jenama tiruan dalam talian dengan penahanan seorang lelaki tempatan dalam satu operasi di sebuah premis di Puchong, Selangor dua hari lalu.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata lelaki berusia 30 tahun itu disyaki membeli pelitup separuh muka tanpa jenama dari China dan membuat pembungkusan semula menggunakan kotak jenama Cross Protection.

Katanya pemeriksaan di premis tersebut menemukan 35 kotak jenama Cross Protection yang mengandungi pelitup separuh muka disyaki tiruan dengan nilai rampasan dianggarkan RM1,575.

“Suspek menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklankan penjualan pelitup separuh muka.  Kaedah penjualan adalah melalui pesanan aplikasi WhatsApp dan barang dihantar melalui pos atau melalui kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD) di sekitar kawasan Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Iskandar Halim, operasi itu dijalankan hasil maklumat yang diterima daripada pengadu pemilik cap dagang berkenaan.

“Pegawai penguat kuasa telah menyamar sebagai pembeli dan berhubung dengan penjual sehingga membawa kepada lokasi pembungkusan pelitup separuh muka,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan direman selama empat hari bermula semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Iskandar Halim mengingatkan peniaga agar lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain, serta memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya tidak melanggar undang-undang membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan.

“Saya juga menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran agar tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika dan cuba mengambil keuntungan yang mudah,” katanya.

Iskandar Halim berkata sebarang maklumat boleh disalurkan kepada KPDNHEP melalui talian 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement  Command Centre (ECC) atau hadir sendiri di mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran.

Sumber: BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.