Siakap Keli

Kerjaya Sebagai Petani Tidak Sesuai Jika ‘Hangat-Hangat Tahi Ayam’

KUALA TERENGGANU, 1 Julai  — Kerjaya sebagai petani tidak sesuai untuk mereka yang ‘hangat-hangat tahi ayam’, takut badan ‘garing’ bila berpanas dan tiada kesabaran yang tinggi.

Mereka yang mahu serius dalam bidang itu harus mengetahui bahawa pendapatan mereka tidak boleh diperoleh dalam jangka masa pendek, malah perlu bersedia untuk ‘berlapar’ apabila musim menuai belum tiba.

Perkara itu dikongsikan oleh empat individu yang mengusahakan tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, dekat Manir di sini, berikutan trend terbaru rakyat Malaysia yang mula menjadikan pertanian sebagai kerjaya setelah hilang pekerjaan.

Muhammad Subri Zaid, 35, yang telah menjadi petani sejak empat tahun lalu, berkata pendapat beliau itu bukanlah untuk meruntuhkan semangat mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut, sebaliknya mahu mereka bersedia dan dapat bertahan walau diuji dalam pelbagai keadaan.

Beliau yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrikal Kuasa itu berharap usahawan tani baharu agar tidak terlalu ghairah mengejar keuntungan sebaliknya perlu mendapatkan sebanyak mungkin ilmu agar tidak kecundang di tengah jalan.

“Mungkin ramai yang hanya lihat dan kagum dengan kebebasan masa dan kewangan stabil yang saya miliki ketika ini, namun hakikatnya saya banyak menimba ilmu berkaitan pertanian terlebih dahulu sebelum meletakkan jawatan sebagai jurutera projek.

“Pertanian memberi jaminan masa depan yang cerah sekiranya pengusaha memiliki minda positif, keazaman yang kuat dan perlu sentiasa peka dengan teknologi terbaharu berkaitan pertanian. Namun sekiranya mahu menjadi petani kerana melihat kejayaan usahawan lain, ia tidak akan ke mana-mana kerana bidang ini bukanlah kerjaya main-main atau hanya suka-suka,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Senada dengan beliau ialah Wan Chik Wan Ahmad, 60, yang telah kerap kali melihat anak muda berputus asa untuk terus menjadi petani sedangkan mereka sudah diberi tunjuk ajar yang baik oleh Jabatan Pertanian.

Katanya, sesetengah mereka tidak sanggup usahakan sendiri dan kerja lebih masa hingga ada yang mengupah orang lain walhal pendapatan yang bakal diterima belum tentu jumlahnya dan tiada jaminan memperoleh hasil yang baik.

“Jadi petani ini jika buat dengan bersungguh-sungguh akan dapat hasil yang berkali ganda daripada pekerja makan gaji tetapi jika setakat ala kadar, bukan sahaja hasil yang sedikit tetapi juga tanaman jadi kurang bermutu.

“Banyak kali saya jumpa anak muda yang buat kerja tani hanya sekadar tangkap muat, tidak ada ilmu dan tidak mahu bertanya kepada orang lama yang banyak petua dan pengalaman dalam bidang pertanian. Ada juga yang gagal kerana pergaulan dengan rakan yang tidak mempunyai matlamat sama,” katanya yang turut mengusahakan pelbagai jenis tanaman kontan di sekitar rumah.

Selain itu, Halim Ismail, 30, yang menjadi petani paling muda di TKPM Peradong itu turut menyarankan mereka yang berminat agar mempunyai wang simpanan sementara menunggu hasil tanaman dan bersedia untuk bekerja siang dan malam.

Beliau yang telah berjaya memperoleh jualan hasil tuaian Melon Manis Terengganu hingga mencecah lebih RM30,000 semusim turut membuktikan keputusannya meninggalkan kerjaya dalam bidang carigali minyak dan gas adalah tepat.

“Saya memang berasal dari keluarga petani dan memang bercita-cita untuk menjadi petani sejak sekian lama, cuma tidak berkesempatan kerana kesibukan kerjaya yang memerlukan saya banyak berada di laut.

“Alhamdulillah, akhir tahun lepas saya dapat tahu TKPM Peradong ini mempunyai kekosongan dan mencari pengusaha baharu yang berkelayakan, jadi saya terus membuat permohonan dan pergi ke temu duga. Mujurlah saya mempunyai sedikit sebanyak ilmu pengetahuan dalam bidang pertanian dan akhirnya diterima,” katanya yang meraih pendapatan bersih RM8,000 sebulan.

Sementara itu, Pengurus TKPM Peradong, Mohd Khairil Azuan Aziz berkata Jabatan Pertanian Terenganu sentiasa mengalu-alukan mereka yang berminat untuk menceburi bidang tersebut tetapi biarlah bersungguh-sungguh hingga membuahkan hasil.

“Kami sentiasa terbuka untuk memberi tunjuk ajar dan ramai yang telah berjaya. Anak muda mempunyai banyak peluang jika ada motivasi dalam diri apatah lagi bidang pertanian kini sering diuar-uarkan sebagai suatu perniagaan dan kerjaya yang baik,” katanya.

Kesemua empat usahawan Melon Manis Terengganu di TKPM Peradong itu adalah antara contoh mereka yang berjaya setelah menerima bimbingan dan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian hingga mampu mengeluarkan buah berkualiti tinggi dan jumlah yang maksimum setiap kali musim menuai.

Melon Manis Terengganu adalah ikon buah di negeri itu yang mempunyai keunikan rasa tersendiri kerana ia lebih manis, rangup dan berlemak berbanding 3,000 varieti melon lain di seluruh dunia.

Lebih istimewa, varieti buah itu yang eksklusif dan hanya terdapat di Terengganu tidak pernah ditanam di Malaysia sebelum ini menjadikannya sentiasa laris di pasaran dalam negara ketika ini dengan harga RM8 untuk sekilogram.

Sumber: Bernama

Nor Azilah