Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Sudah Berkahwin Hampir Sedekad, ‘Wanita’ Baru Sedar Dirinya Lelaki Ketika Usia 30 Tahun

Selepas 30 tahun hidup, seorang wanita di Kolkata, India disahkan secara biologinya seorang lelaki, lapor Times Of India.

Hal tersebut didedahkan oleh doktor selepas wanita tersebut disahkan menghidap kanser testikel selepas menjalani pemeriksaan perubatan kerana sering mengadu sakit pada bahagian perut.

Tambah laporan itu, adik kepada wanita tersebut yang berusia 28 tahun juga turut didiagnos dengan sindrom ‘ketidakpekaan androgen’ selepas menjalani pemeriksaan yang sama.

‘Ketidakpekaan androgen’ adalah keadaan di mana seseorang itu secara genetiknya lahir sebagai lelaki, namun memiliki rupa fizikal seperti seorang wanita.

Wanita yang berusia 30 tahun itu telah mendirikan rumah tangga selama 9 tahun dan telah mendapatkan rawatan di Netaji Subhas Chandra Bose Cancer Hospital bagi merawat sakit pada bahagian perutnya itu.

Di situlah pakar onkologi klinikal Dr Anupam Dutta dan pakar bedah onkologi Dr Soumen Das melakukan ujian medikal terhadapnya dan mengetahui identiti sebenarnya.

“Daripada rupa luarannya, dia memang seorang wanita. Daripada suaranya, perkembangan payudara termasuk alat sulit luaran yang normal, segalanya milik seorang wanita. Walau bagaimanapun, rahim dan ovarinya tidak ada sejak lahir dan dia juga tidak pernah datang haid,” kata doktor Dutta.

Ianya adalah keadaan yang sangat jarang berlaku, dan ianya hanya terjadi satu dalam setiap 22,000 orang.

Selepas laporan ujian menyatakan bahawa individu itu “tidak mempunyai vagina”, doktor memutuskan untuk menjalankan ujian Karyotyping, lalu mendapati bahawa pelengkap kromosomnya adalah ‘XY’ dan bukan ‘XX’, seperti yang terdapat pada seorang wanita.

“Kami telah melakukan ujian klinikal, selepas dia mengadu sakit pada bahagian perut, dan mendapati bahawa ada testis dalam tubuhnya. Ujian biopsi turut dilakukan, dan kami juga mendapati bahawa dia telah menghidap barah testikel atau lebih dikenali sebagai seminoma,” jelas Dr Dutta.

Buat masa ini, wanita tersebut sedang menjalani kemoterapi dan kesihatannya sedang beransur pulih.

Bercakap tentang reaksinya terhadap pendedahan kepada wanita tersebut, Dr Dutta berkata, “Individu itu telah membesar sebagai seorang wanita. Dia telah berkahwin dengan seorang lelaki selama hampir sedekad. Kini, kami sedang memberi kaunseling kepada pesakit dan suaminya, menasihatkan agar mereka teruskan hidup seperti biasa.”

Difahamkan, pasangan itu pernah cuba untuk mendapatkan anak sebanyak beberapa kali namun gagal.

Dua orang makcik kepada pesakit itu juga turut didiagnos dengan sindrom yang sama sebelum ini, kata pakar onkologi tersebut.

“Ianya mungkin ada kena mengena dengan gen mereka. Kami juga dimaklumkan bahawa dua orang makciknya turut mengalami sindrom yang sama,” tambahnya.

Sumber: Times of India

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa