Siakap Keli
Foto: Bernama

Pembukaan Sekolah: Julai Bakal Jadi Bulan ‘Sibuk’ Untuk Pelajar, Guru Dan Ibu Bapa

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Setelah hampir empat bulan tidak menjejakkan kaki ke sekolah dan hanya menggunakan pendekatan pembelajaran di rumah akibat ancaman pandemik COVID-19 sejak pertengahan Mac lepas, pelajar akhirnya bakal menyambung semula pembelajaran bermula pertengahan bulan ini.

Debaran dirasai seolah-olah menanti pengumuman tarikh Hari Raya Aidilfitri apabila Menteri Kanan  (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin merungkai ‘teka-teki’ mengenai tarikh pembukaan sekolah dalam sidang media khasnya semalam.

Bagi pelajar tingkatan satu hingga empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima dan  enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini, manakala pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Pembukaan semula sekolah untuk murid bukan kelas peperiksaan awam itu dilaksanakan secara berperingkat setelah mengambil kira saranan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semestinya, Julai adalah bulan yang sibuk bukan sahaja untuk murid dan guru tetapi juga ibu bapa yang kini perlu menyusun kembali jadual harian masing-masing, mengatur masa dan menguruskan keperluan harian anak-anak bagi memastikan aktiviti pembelajaran berjalan lancar.

Jika diimbas kembali, semalam juga genap seminggu sekolah dibuka semula kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam pada tahun ini iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta peperiksaan antarabangsa.

Sesi prasekolah, tadika dan tabika yang bermula semalam turut tidak ketinggalan mencuri tumpuan orang ramai dan lensa media khususnya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan di pusat pendidikan berkenaan.

Tinjauan media sosial juga mendapati keletah si cilik yang setia mendengar penerangan guru-guru berkenaan SOP ketika berada di sekolah memberi gambaran mereka mampu mematuhi arahan yang ditetapkan meskipun hanya pada usia sangat muda.

Selain pengumuman pembukaan sekolah, satu lagi berita gembira dikongsikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah apabila tiada kes COVID-19 dilaporkan mendapat jangkitan dari dalam negara iaitu menerusi penularan tempatan, sama ada dalam kalangan warganegara Malaysia mahupun bukan warganegara.

Bahkan buat pertama kalinya Malaysia mencatatkan kes harian COVID-19 yang terendah semalam iaitu dengan hanya satu kes baharu melibatkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara menjadikan  jumlah keseluruhan adalah 8,640 kes.

Memetik kata-kata Dr Noor Hisham sebelum ini, Malaysia memerlukan tempoh 28 hari sifar kes COVID-19 sebelum boleh diisytiharkan bebas pandemik berkenaan.

Persoalannya, mampukah kita terus berjuang untuk membebaskan negara daripada pandemik berbahaya itu?

Jika dilihat, kita sudah hampir ke garisan penamat, oleh itu masyarakat perlu kekal komited mengamalkan kelaziman baharu serta patuh kepada SOP yang ditetapkan dengan menjaga jarak sosial, meningkatkan kebersihan kendiri, elak kawasan sempit dan sesak serta elak bertutur dengan jarak dekat.

#kitamestimenang!

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.