Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Seorang Pegawai Imigresen Kedah & 13 Warga Rohingya Antara 16 Individu Didakwa Sertai ‘Geng Husen Maungdaw’

GEORGE TOWN, 2 Julai (BERNAMA) — Seramai 16 lelaki termasuk seorang pegawai imigresen Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Husen Maungdaw’, sejak September tahun lepas.

Kesemua tertuduh yang berusia 26 hingga 55 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam daerah Timur Laut, antara September 2019 hingga 17 Jun lepas.

Tertuduh termasuk 13 rakyat Rohingya itu ialah Syed Husen Syed Ahmed, 39; Mohd Ayas Hussain, 39; Mohamad Rafik Abdul, 35; Mohamad Ayub Sunail, 55; Karim Oli Ahmad, 26; Shamsul Alam Zakaria, 38; Mohammad Rashid Mohd Shobir, 30; Nor Mustafa Kaloo, 40; Mohd Hashim Osi Rahman, 39; Mohamad Zubir Abd Shukur, 44; Nur Mohamed Mugul Ahmed, 37; Mohiddin Mohd Rafiq, 48, dan Abdullah @ Maung Hla Wing yang merupakan pemegang status penduduk tetap berusia 42 tahun.

Baki tiga lagi tertuduh merupakan warga tempatan ialah pegawai imigresen Kedah berusia, 34, dua lagi berusia 42 dan 43.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim manakala peguam Datuk Naran Singh, Mohd Rafiee Nordin, Abdul Rahim Md Yusuf, Norizan Yaacub, P. Selvaraj, Y. Anbananthan dan V. Parthipan mewakili 12 tertuduh manakala empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'