Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Dipercayai Bersekongkol Dengan Sindiket Dadah Antarabangsa, Tiga Anggota Polis Ditahan

Johor Bahru: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan Khamis lalu (25 Jun), selepas dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa di sekitar Muar.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggota polis berusia 40 tahun, bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu ditahan, susulan penangkapan awal tiga suspek sindiket berkenaan pada 6 Jun lepas.

Ketiga-tiga suspek itu berumur antara 23 hingga 37 tahun.

”Tangkapan ketiga-tiga mereka ini susulan kejayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas sebanyak 25 kilogram (kg) syabu dan 14kg ecstasy di Pantai Muara Parit Samsu, Muar pada 1 Jun lalu, tetapi tidak berjaya menahan suspek terlibat kerana melarikan diri.

”Susulan itu, polis melancarkan satu operasi khas pada 6 Jun, bagi mengesan suspek terlibat, sebelum akhirnya berjaya menahan ketiga-tiga suspek,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, soal siasat ke atas ketiga suspek kemudian membawa kepada penangkapan anggota polis tersebut, selain merampas 2.10 kilogram lagi syabu bernilai RM84,000 dan menyita sebuah kenderaan bernilai RM94,000.

Beliau menambah berdasarkan ujian air kencing, dua daripada semua suspek terlibat positif dadah jenis syabu.

Dua daripada mereka turut didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau, berkaitan dadah.

”Sindiket ini dikesan telah beroperasi sejak 2017 dan daripada siasatan awal, mereka dipercayai cuba menyeludup 33 kg syabu dari Muar ke Indonesia menerusi jalan laut, di mana 25kg daripadanya berjaya dirampas pihak berkuasa, manakala enam kilogram syabu lagi sedang dikesan bersama dua suspek lain yang berjaya melarikan diri,” katanya.

Ayob Khan berkata, kesemua suspek kini direman selama 11 hari dengan anggota polis terlibat disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK), manakala tiga suspek lain disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam kes berasingan, lima lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 29 tahun ditahan, menerusi lima serbuan berasingan di sekitar Seri Alam.

Ayob Khan berkata, dalam siri serbuan itu, pihaknya merampas sebanyak 9.135 kg ganja, 36.13 gram syabu dan dua liter air ketum, dengan nilai keseluruhan RM26,470.50.

Selain itu, polis menyita tiga buah kenderaan bernilai RM386,000, sebuah motosikal bernilai RM8,000 dan wang tunai berjumlah RM850.

Kesemua suspek kini ditahan reman 11 hari, bermula tarikh tangkapan.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.