KUCHING, 2 Julai (BERNAMA) — Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri dibaham buaya ketika sedang mengikat batang rumbia di tebing sebatang sungai di Kampung Tampan, Pusa, kira-kira 170km dari sini petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata JBPM Betong telah mengaktifkan misi mencari dan menyelamat selepas mangsa yang dikenali sebagai Sarkawi Talip, 61, dilaporkan hilang pada kira-kira 3.45 petang.
“Menerusi maklumat awal yang kita terima, mangsa dikatakan pergi ke Sungai Undey bersama tiga lagi rakannya untuk mengambil dan seterusnya mengikat batang rumbia,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata seorang rakan Sarkawi mendakwa telah melihat mangsa disambar seekor buaya ketika berada di tebing sungai itu sebelum diheret reptilia tersebut yang berenang ke hulu sungai berkenaan.
Pasukan mencari dan menyelamat JPBM turut disertai kira-kira 80 penduduk kampung untuk melakukan usaha pencarian sekitar lingkungan satu kilometer dari tempat kejadian namun usaha itu terpaksa dihentikan pada kira-kira 6.43 petang berikutan cuaca gelap dan akan disambung esok.
Sumber: BERNAMA