Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

PDRM Bertegas Cari 620 Individu Belum Jalani Saringan COVID-19 Kali Kedua

KUALA LUMPUR, 2 Julai (BERNAMA) — Polis sudah mempunyai senarai nama lengkap rakyat Malaysia yang dikuarantin 14 hari di rumah selepas pulang dari luar negara yang masih belum menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua hingga kini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata pihaknya akan mula mengesan mereka dalam masa terdekat, dan mereka dinasihatkan untuk tampil segera memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan untuk menjalani ujian saringan kali kedua.

“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan atas kedegilan dan kegagalan mereka untuk hadir membuat ujian saringan kali kedua,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22(b) Akta 342 dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No 7) pindaan (2020).

Hari ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan meminta 620 orang yang dikenakan kuarantin rumah dan masih gagal menjalani ujian saringan kali kedua COVID-19 pada hari ke-13 kuarantin, untuk berbuat demikian sebelum dikenakan tindakan.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.