Siakap Keli

47 Individu Pulang Ke Malaysia Sejak 10 Jun-3 Julai Positif Covid-19

KUALA LUMPUR, 4 Julai – Seramai 47 individu yang pulang ke negara ini sejak 10 Jun lalu sehingga semalam didapati positif COVID-19, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata kesemua individu itu dikesan positif hasil saringan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas 10,278 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh tersebut.

“Daripada jumlah ini 10,231 individu didapati negatif COVID-19 dan menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mereka yang didapati positif dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ismail Sabri berkata semalam, seramai 1,171 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari Indonesia, Singapura, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, China, Pakistan, Brunei, Hong Kong, Vietnam, Arab Saudi, Australia dan Filipina.

Daripada jumlah itu 1,164 individu diperintah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala tujuh individu dibawa ke hospital.

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 944 pemantauan pematuhan Standard Operasi Prosedur (SOP) kuarantin rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP ditetapkan.

Mengenai operasi pematuhan PKPP, Ismail Sabri berkata PDRM menahan 77 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP semalam.

“Daripada jumlah ini, 13 individu direman manakala 64 lagi telah dikompaun. Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti sukan sentuh 15 kes, aktiviti pub atau kelab malam (12 kes) dan aktiviti yang melanggar SOP 50 kes,” katanya.

Seramai sembilan warganegara asing ditahan kerana kesalahan imigresen hasil 66 sekatan jalan raya bagi mengekang jenayah rentas sempadan terutama di lorong-lorong tikus di seluruh negara.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.