Siakap Keli

Peniaga, Penjaja Kecil Di Perak Perlu Mohon Lesen Perniagaan Harian

IPOH, 4 Julai — Semua penjaja dan peniaga kecil di Perak dibenarkan menjalankan perniagaan di hadapan rumah masing-masing, dengan syarat mereka memperoleh lesen perniagaan harian daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), di daerah masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, peniaga dan penjaja kecil boleh menghubungi PBT di daerah masing-masing, bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lesen berkenaan.

Katanya, langkah itu adalah satu inisiatif untuk membantu penjaja dan peniaga kecil, kembali menjana pendapatan selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Secara umumnya, semua peniaga pasar pagi, pasar malam tak terkecuali, yang berniaga di hadapan rumah masing-masing pun telah dibenarkan untuk menjalankan perniagaan masing-masing.

“Cuma, ke semua mereka tidak terkecuali (SOP) dan pemantauan berterusan akan dijalankan oleh PBT sama ada daripada segi nasihat atau penguatkuasaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Gotong-Royong di Flat Conolly, di sini, hari ini.

Mengenai program gotong-royong yang dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), Nolee Ashilin berkata, ia bertujuan mengekang penularan denggi dan Chikungunya di kawasan perumahan berkenaan.

“Hari ini bukan sahaja gotong royong tetapi kita juga mengedarkan kepada setiap keluarga di kawasan ini tin-tin aerosol untuk membantu mereka mencegah wabak ini di dalam rumah atau kediaman mereka sendiri,” katanya.

Sumber: Bernama

Nor Azilah