Siakap Keli

Wanita Warga Emas Maut Akibat Jangkitan Bakteria Dipercayai Selepas Dicakar, Luka Dijilat Kucing

Seorang warga emas berusia 80 tahun dilaporkan meninggal dunia dipercayai dicakar dan luka dijilat kucing sendiri di Australia.

Wanita itu dipercayai dijangkiti meningitis bakteria setelah haiwan itu menjilat lukanya pada Mei lalu.

Menurut Daily Mail, mangsa ditemui ahli keluarganya dalam keadaan tidak sedarkan diri di samping kucing peliharaannya.

Susulan itu, dia dimasukkan ke hospital dan dilaporkan koma selama sembilan hari sebelum sedar pada hari berikutnya.

Pun begitu, dia disahkan meninggal dunia pada hari kemudian.

Jangkitan bakteria dari air liur kucing

Anak kepada wanita berkenaan mendakwa ibunya sering tidur dengan haiwan berkenaan.

Dia mengesyaki kucing berkenaan menjilat luka tersebut pada waktu malam, menyebabkan bakteria memasuki saluran darah dan menyebabkan jangkitan.

Wanita warga emas itu turut dilaporkan mengalami komplikasi lain akibat cakaran kucing berikutan faktor usia dan ubat penipisan darah diambilnya.

Doktor yang merawat wanita itu mendapati mangsa dijangkiti bakteria pasteurella multocida, sejenis bakteria yang tidak boleh dirawat dengan antibiotik biasa.

Menurut Pengarah Penyakit Berjangkit Austin Health, Lindsay Grayson, air liur kucing boleh menyebabkan komplikasi serius termasuk kegagalan jantung dan buta, terutamanya bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.

Katanya, kucing juga boleh menjadi pembawa bakteria pembunuh seperti pasteurella dan bartonella yang boleh menyebabkan penyakit cakar kucing atau cat scratch disease.

Bengkak limfa akibat penyakit cakar kucing. (Kredit: Cancer Threapy Advisor)

Oleh itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai agar mengelakkan kucing menjilat luka yang terbuka. Individu yang lukanya dijilat kucing pula diingatkan agar terus mendapatkan rawatan.

Terus cuci luka dengan air dan sabun jika digigit atau dicakar kucing

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), jika anda dicakar atau digigit kucing, terus cuci luka dengan sabun dan air mengalir.

Jangan sesekali biarkan haiwan itu menjilat luka anda dan terus berjumpa dengan doktor jika mempunyai simptom jangkitan penyakit cakar kucing.

Antara simptom jangkitan ialah sakit kepala, demam, hilang selera makan dan lesu. Kemudian, nodus limfa berhampiran kesan luka juga akan mengalami bengkak dan rasa sakit.

Sebanyak kira-kira 40 peratus kucing pernah menjadi pembawa bakteria B. henselae semasa hayat mereka.

Pun begitu, kebanyakan kucing yang membawa bakteria ini tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit.

Tambah CDC, anak kucing berusia bawah setahun mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi menyebabkan jangkitan B. henselae dan menyebarkannya kepada orang ramai.

Penyakit cakar kucing lazimnya menyebabkan bengkak pada limfa, disertai kesan cakaran pada kulit. (Kredit: CDC)

Kucing mendapat jangkitan bakteria tersebut melalui gigitan kutu dan sisa buangan kutu yang memasuki luka mereka.

Dengan mencakar dan menggigit, kucing sering ‘mengumpul’ kotoran tercemar di bawah kuku dan antara gigi mereka.

Kucing juga boleh dijangkiti melalui pergaduhan dengan kucing lain yang terjangkiti.

Bakteria itu menjangkiti manusia apabila kucing mencakar atau menggigit sehingga menyebabkan luka pada kulit manusia. Ia juga boleh tersebar apabila kucing menjilat luka atau kudis sedia ada pada kulit anda.

Sumber: Daily Mail, CDC

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.