Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

Cuba Lari Dari APMM, Tiga PATI Jatuh Ke Laut Setelah Bot Terbalik Di Perairan Tg. Piai

JOHOR BAHRU, 7 Julai  (BERNAMA) — Tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dipercayai jatuh ke laut apabila bot yang dinaiki mereka terbalik ketika cuba melarikan diri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Piai, dekat Pontian, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata pada kejadian kira-kira 2 pagi, bot yang membawa lima orang termasuk seorang tekong telah terbalik pada kedudukan lebih kurang 4.3 batu nautika tenggara Tanjung Piai.

Beliau berkata seorang lelaki dewasa dipercayai tekong bot warga Indonesia berjaya diselamatkan kemudian ditahan manakala pencarian di kawasan bot terbalik tidak menjumpai mangsa yang lain.

Pada masa yang sama, sebuah kapal dagang telah menyelamatkan seorang wanita dewasa dipercayai migran warga Indonesia yang jatuh ke laut berhampiran kapal tersebut bersauh iaitu lebih kurang 4.5 batu nautika timur Tanjung Piai.

APMM mulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga PATI berkenaan. Gambar: APMM

“Berdasarkan maklumat awal, tiga lagi rakan mangsa yang terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki dewasa dipercayai telah turut sama terjatuh ke laut di sekitar lokasi yang sama,” kata Aminuddin dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat tiga mangsa yang masih hilang melibatkan sebuah kapal dan empat bot daripada APMM, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Keluasan sektor pencarian meliputi 40 batu nautika persegi di sekitar perairan Tanjung Piai dan Tanjung Bin, Kukup. Selain itu, maklumat pencarian juga disalurkan kepada Komuniti Maritim terutamanya kapal-kapal dagang yang berada serta melalui kawasan tersebut,” kata beliau.

APMM mulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga PATI berkenaan. Gambar: APMM

Maklumat juga disalurkan kepada agensi penguat kuasa negara-negara jiran seperti Badan SAR Nasional Indonesia (BASARNAS) dan Maritime and Port Authority of Singapore (Singapura).

“Maritim Malaysia menyeru mana-mana individu yang ingin keluar atau masuk ke negara ini supaya  melalui jalan yang sah dan selamat. Sindiket penyeludupan migran hanya ingin mengaut keuntungan tanpa mengawal, melindung, menyelamat dan menghiraukan keselamatan nyawa,” katanya.

Sebarang maklumat mengenai penemuan mangsa yang terlibat boleh disalurkan kepada Pusat  Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404).

Sumber: BERNAMA, APMM

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.