Siakap Keli
seludup petrol
Gambar: KPDNHEP Kelantan

KPDNHEP Rampas 1,260 Liter Petrol Dekat Pangkalan Haram Di Tumpat

KOTA BHARU, 7 Julai (Bernama) — Penemuan dua kenderaan yang mencurigakan berhampiran pangkalan haram Mekza dekat Kampung Simpangan, Tumpat petang semalam membongkar kegiatan penyeludupan minyak petrol yang dilakukan di situ.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan Azanizam Affendi Juri, pemeriksaan yang dijalankan ke atas dua kenderaan terbabit menemukan sebanyak 1,260 liter petrol.

Beliau berkata penemuan itu adalah hasil risikan bersama pihaknya dengan Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubur dalam Operasi Membanteras Penyeludupan Barang Kawalan Bersubsidi di sempadan mulai pukul 5 petang semalam.

“Maklumat risikan pasukan telah mengesan sebuah stor haram dan melakukan serbuan pada 7 malam.

“Setibanya di pangkalan haram berkenaan, pasukan telah membuat pemeriksaan di sekitar kawasan stor berkenaan dan menjumpai dua kenderaan yang mencurigakan disyaki digunakan untuk tujuan penyeludupan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan pertama iaitu jenis Proton Iswara menjumpai sebanyak 25 tong berisi anggaran 625 liter minyak petrol manakala sebanyak 17 jeriken serta tangki tambahan dengan jumlah 635 liter minyak petrol ditemukan di dalam kenderaan jenis Proton Saga.

Katanya, kesemua minyak petrol yang dirampas dianggarkan bernilai RM2,079 dan disyaki bakal diseludup keluar ke negara jiran.

“Semasa pemeriksaan dilakukan tiada individu yang mengaku sebagai pemilik barangan dan kenderaan yang diperiksa. Pasukan membuat penyitaan barangan serta kenderaan tadi dan dibawa ke Markas Operasi PPM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu dengan niat melakukan penyeludupan dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.