Siakap Keli

Seorang Lelaki Tempatan Dipercayai Dalang Seludup PATI & Lima Warga Indonesia Ditahan Polis

Lima (5) lelaki warga Indonesia termasuk dua (2) daripadanya dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditangkap polis dalam satu tangkapan di Jeti Seng Lee, Bagan Sekinchan, Selangor semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Polis Gerakan Am (PGA), Supritendan Zulafendy Hassan berkata, kesemuanya termasuk seorang lagi lelaki tempatan berbangsa Cina masing-masing ditahan berumur lingkungan antara 23 ke 38 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki dewasa warganegara Malaysia tersebut dipercayai melakukan perkhidmatan membawa PATI masuk ke Malaysia bersama tiga (3) tekong laut warganegara Indonesia dengan menggunakan bot nelayan.

“Turut dirampas sebuah bot nelayan pukat tunda kelas B bersama enjin 420 kuasa kuda, beserta dua (2) buah pukat tunda, satu (1) GPS Plotter, satu (1) telefon bimbit, satu (1) set walkie-talkie dan juga wang Rupiah Indonesia sejumlah RP1,200,000.00,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, semalam.

Dianggarkan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM667,400.

Keenam-enam individu yang ditangkap tersebut bersama barang rampasan telah dibawa ke Balai Polis Sekinchan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6 (3), Akta Imigresen 1963.

Orang awam diminta bekerjasama dengan pihak polis untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang.

Gambar: Batalion Empat PGA
Gambar: Batalion Empat PGA

Sumber: Batalion Empat PGA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.