Siakap Keli

(Video) Detik Mendebarkan Remaja Disambar Kilat Semasa Buat Sepakan Di Padang Bola

Seorang pemain bola sepak Rusia berusia 16 tahun dilaporkan koma selepas lehernya disambar petir semasa sedang berlatih.

Insiden mengerikan yang dilaporkan berlaku di Orekhovo-Zuevo, Moscow itu telah memaksa Ivan Zaborsky terpaksa bertarung dengan nyawanya.

Penjaga gol remaja yang berlatih secara berasingan dengan rakan sepasukannya itu dikatakan memakai rantai logam semasa kilat tersebut menyambar lehernya.

Difahamkan, langit kelihatan cerah semasa kilat tersebut menyambarnya ketika sesi latihan pasukannya yang bernama FC Znamya Truda sedang diadakan.

Menariknya, video tersebut berjaya merakamkan aksinya sempat menendang bola dari kawasan kotak penalti selepas dia disambar oleh kilat tersebut.

Sejurus selepas itu, dia terus rebah ke tanah manakala jurulatih serta rakan sepasukannya terus berlari ke arahnya.

Jurulatihnya, Anton Basov, terus mengurut di bahagian dadanya dan melakukan pernafasan mulut ke mulut bagi menyelamatkannya.

Penjaga gol yang tidak sedarkan diri itu terpaksa digegaskan ke hospital dan kemudiannya dipindahkan dengan menaiki helikopter ke sebuah klinik di Moscow.

Kekasihnya, Yelena memberitahu kepada media Podyem: “Dia kini dalam keadaan stabil.

“Dia telah kembali sedar, namun kerana kecederaan yang dialaminya itu agak serius, dia telah diletakkan di dalam keadaan koma semula.”

“Terdapat parut di lehernya, dan sebahagian paru-parunya turut terkesan. Dia memerlukan masa untuk berada dalam keadaan stabil.”

Kakak kepada Zaborsky pula berkata: “Beberapa kali dia tersedar, tetapi doktor takut untuk mengambil risiko, dan dia terus diletakkan dalam keadaan koma selepas itu.”

“Doktor menyatakan bahawa dia sangat-sangat bertuah. Saya masih tidak dapat memahami lagi tentang semua ini. Saya tidak faham bagaimana ianya boleh berlaku.

“Tidak ada sebarang awan mendung langsung kelihatan di atas stadium itu sebelum dan selepas insiden itu berlaku, tidak ada apa yang memberi petunjuk bahawa kejadian seperti ini akan berlaku”, ujarnya.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa