Siakap Keli

Satu Mayat Warga Indonesia Mangsa Kejadian Bot Terbalik Ditemui

Johor Bahru: Polis Pengawal Pantai Singapura (SPCG) telah menemui mayat seorang wanita hari ini, yang merupakan salah seorang daripada tiga warga Indonesia yang hilang selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Tanjung Piai, dekat Pontian, semalam.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata mayat yang ditemui berhampiran Pelabuhan Tuas pada pukul 12 tengah hari itu kemudiannya dibawa ke pelabuhan berkenaan, sebelum penemuan itu dimaklumkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata wanita itu kemudian disahkan sebagai salah seorang tiga mangsa yang dicari dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) Maritim, dan menurutnya pihak SPCG akan menguruskan mayat itu dengan kerjasama Kedutaan Indonesia di Singapura manakala usaha mencari dua lagi mangsa, masih diteruskan.

Dalam kejadian semalam, tiga warga Indonesia iaitu dua wanita dan seorang lelaki hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik ketika cuba melarikan diri daripada pihak Maritim di perairan berkenaan pada kira-kira pukul 2.00 pagi di kedudukan kira-kira 4.3 batu nautika tenggara Tanjung Piai.

Ketika kejadian, bot itu dikatakan membawa lima orang termasuk seorang tekong, bagaimanapun tekong bot berjaya diselamatkan dan ditahan, manakala seorang penumpang wanita diselamatkan sebuah kapal dagang berhampiran lokasi kejadian.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.