Siakap Keli
japanese encephalitis JE
Gambar seorang bayi empat bulan yang dijangkiti JE. (Kredit: Google/News18)

Beberapa Kes Dilaporkan Di Malaysia, Ini Bahaya Penyakit JE & Cara Pencegahan

Kebelakangan ini, kita menyaksikan pertambahan kes Japanese Encephalitis (JE) di Malaysia melibatkan beberapa negeri seperti Pulau Pinang dan Johor. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit yang tiada penawar ini cenderung menjangkiti kanak-kanak walaupun turut boleh menjangkiti mana-mana peringkat umur.

“JE terutamanya mempengaruhi kanak-kanak. Sebilangan besar orang dewasa di negara-negara endemik mempunyai imuniti semula jadi selepas jangkitan kanak-kanak, tetapi individu dari mana-mana usia mungkin terjejas,” tulis WHO.

Biarpun angkanya lebih rendah jika dibandingkan dengan denggi, bahaya penyakit bawaan nyamuk ini tidak boleh disangkal lagi. Hal ini kerana penyakit tersebut disebabkan virus yang boleh menyerang sistem saraf, menyebabkan komplikasi teruk hingga kematian.

“Walaupun kes JE yang bersimptom jarang berlaku, kadar kematian dalam kalangan mereka dengan ensefalitis adalah setinggi 30 peratus. Sekuel neurologi atau psikiatri kekal boleh berlaku pada 30% –50% mereka yang mengalami ensefalitis.” -WHO

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), penyakit ini berpunca daripada gigitan serangga menghisap darah, khususnya nyamuk Culex yang membawa virus tersebut.

Nyamuk Culex menggigit khinzir yang menjadi perumah sekunder sebelum menyebarkan virus JE kepada manusia atau haiwan lain semasa menghisap darah. Virus ini kemudiannya akan menyerang sistem saraf pusat iaitu otak dan saraf tunjang mangsa.

Apa yang lebih merisaukan ialah nyamuk ini antara spesies yang sering ditemui di dalam rumah, oleh itu, ia turut dikenali sebagai nyamuk rumah (house mosquito).

Secara umumnya, ia sering membiak di tempat takungan air seperti sawah padi, longkang dan berhampiran pusat ternakan khinzir.

Oleh itu, komuniti yang tinggal berhampiran lokasi tersebut lebih terdedah kepada risiko gigitan serangga ini dan memerlukan suntikan pelalian (vaksin) bagi mencegah penyakit JE.

japanese encephalitis JE
Pernah lihat nyamuk ini di rumah anda? (Kredit: Andon Hestiantoro)

Simptom

Berikut merupakan simptom jangkitan JE. Tambah KKM, hampir semua pesakit akan mempunyai gejala ringan atau tiada gejala sehinggalah 4 hingga 16 hari digigit nyamuk yang membawa virus.

Dalam kes teruk, JE akan bermula dengan demam selsema, sejuk badan, letih, sakit kepala, loya dan muntah-muntah.

Pesakit juga akan berasa keliru dan celaru (agitation) pada peringkat awal jangkitan.

Seramai 66 peratus pesakit terutamanya kanak-kanak cenderung terkena sawan apabila dijangkiti virus ini.

Virus ini juga boleh menyebabkan komplikasi radang otak yang menyebabkan kematian dalam 30 peratus kes JE.

Bagi individu yang selamat pula, sebanyak 30 peratus akan mengalami kerosakan otak yang teruk sehingga boleh menyebabkan lumpuh.

Pencegahan

Berikut merupakan saranan KKM untuk mencegah penyakit JE, bawaan nyamuk Culex ini:

  • Guna kelambu
  • Guna racun semburan serangga aerosol, lingkaran ubat nyamuk dan krim sapu mengelak nyamuk (repellent).
  • Pasang jaringan penahan nyamuk
  • Pakai baju lengan panjang dan seluar panjang apabila keluar ke kawasan ternakan babi

Musnahkan kawasan pembiakan nyamuk Culex

  • Bina sistem perparitan yang sempurna
  • Tutup kawasan air bertakung
  • Pastikan kawasan ternakan babi bersih
  • Sembur racun serangga di kawasan ternakan

Selain itu, individu yang tinggal berhampiran ladang ternakan khinzir terutamanya kanak-kanak serta mereka yang bekerja secara langsung di kandang tersebut perlu menjalani suntikan pelalian mengikut jadual berikut;

Di samping itu, sebaiknya elakkan dari membeli kediaman berhampiran tempat kumbahan atau tempat ternakan bagi mengelakkan gangguan pada kemudian hari.

nyamuk culex
Perbezaan antara nyamuk tiruk (Anopheles), nyamuk rumah (Culex) dan Aedes. (Kredit: Google)

Sumber: My Health KKM, WHO, Bernama

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.