Siakap Keli

Buat Simpanan Tetap Untuk Jamin Masa Hadapan – Azmeer Yusoff

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Pemain bola sepak profesional di negara ini dicadangkan untuk membuat simpanan tetap bagi memastikan ia dapat digunakan apabila mereka menggantung but pada satu hari nanti.

Saranan berkenaan disuarakan oleh pemain veteran Kedah, Azmeer Yusof yang menyifatkan kegagalan mempunyai simpanan tetap menjadi punca beberapa pemain tempatan bergelut untuk menampung kehidupan seharian mereka apabila tidak lagi bergelar pemain bola sepak.

Pemain berusia 30 tahun itu yang pernah mengalami zaman kejatuhan turut mendedahkan sikap boros berbelanja ketika bergelar pemain profesional turut mendorong mereka menggunakan jalan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup masing-masing.

“Pada saya, setiap pemain kena ada sasaran berapa banyak yang beliau ingin simpan, apa yang beliau mahu utamakan dahulu sama ada mahu beli kereta, tanah atau membuat rumah.

“Duit inilah yang boleh digunakan selepas mereka bersara suatu hari nanti. Selepas kita bersara nanti, kita tidak akan menikmati gaji besar yang diraih ketika bergelar seorang pemain bola sepak,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Dalam pada itu, Azmeer turut mencadangkan agar pemain profesional tempatan membuka perniagaan sebagai satu daripada cara untuk menampung pendapatan selepas tidak lagi bergelar seorang pemain.

Anak jati Kuala Lumpur itu mengakui, beliau amat bersyukur dengan tiga perniagaan yang diusahakannya ketika ini dapat membantu menampung kehidupan sehariannya.

Azmeer boleh berbangga kerana bukan sahaja berjaya membuka perniagaan seluar sukan dan syarikat pembersihan sampah di Kuala Lumpur, malahan turut mempunyai sebuah kedai gunting rambut yang diberi nama AY Barber Shop di Alor Setar yang dimulakan sejak awal tahun ini.

Semalam, beliau mengambil keputusan untuk menamatkan kontrak lebih awal dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bagi memberi tumpuan terhadap ketiga-tiga perniagaan berkenaan, selain turut sibuk menguruskan pembinaan Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Alor Setar.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang