Siakap Keli

China Tutup Tempat Tumpuan Pelancong Di Inner Mongolia Selepas Wabak Bubonik Dikesan

Pihak berkuasa China di wilayah Inner Mongolia telah membuat keputusan menutup beberapa tempat pelancongan setelah kes jangkitan wabak bubonik disahkan dikesan pada minggu ini.

Kes tersebut dilaporkan di Bayannur, yang terletak di barat laut ibu kota Beijing. Lima kawasan Grassland, yang menjadi tempat tumpuan pelancong telah ditutup, dengan semua pengunjung “dilarang keras memasuki kawasan yang terjejas dan mengunjungi kawasan sekitarnya,” menurut agensi berita Xinhua.

Pihak berkuasa Inner Mongolia juga melaksanakan pengurusan yang lebih ketat terhadap beberapa lagi lokasi pelancongan Grassland bagi memastikan pengunjung tidak memberi makan atau menyentuh haiwan liar, di samping menurunkan populasi tikus atau kutu yang mungkin membawa penyakit, lapor Xinhua.

Difahamkan, pihak berkuasa hospital di Bayannur terlebih dahulu memaklumkan kepada pegawai mengenai kes jangkitan wabak bubonik yang disyaki pada Sabtu lalu.

Bandar tersebut kemudiannya diletakkan di bawah amaran Tahap 3 bagi pencegahan wabak dan meningkat pada Tahap 2 pada Ahad sebelum doktor secara rasmi mendiagnosis kes itu sebagai wabak bubonik pada Selasa.

Pesakit yang telah dijangkiti telah diasingkan dan dirawat di hospital, serta berada dalam keadaan stabil, lapor Xinhua.

Wabak Bubonik yang disebabkan oleh bakteria dan menular melalui gigitan kutu dan haiwan yang dijangkiti, diketahui menyebabkan wabak paling membunuh dalam sejarah manusia di mana telah mengorbankan kira-kira 50 juta orang di Eropah pada Zaman Pertengahan.

Para saintis dan pakar mengingatkan orang ramai agar tidak panik terhadap kes baru wabak ini kerana ianya tidak pernah hilang, dan penggunaan antibiotik moden dapat mencegah komplikasi dan kematian jika ditangani dengan cepat.

Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa China dan Mongolia bagi memantau situasi ini, menurut akhbar harian China Daily.

Pihak berkuasa kesihatan Bayannur memberi amaran kepada orang ramai untuk melaporkan penemuan marmot yang mati atau sakit, dan tidak memburu atau memakannya.

Marmot merupakan haiwan daripada spesies tupai tanah dengan nama saintifiknya Marmota. Haiwan dalam kelas herbivor itu dikenal pasti hidup di Asia, Eropah dan Utara Amerika.

Pada 1 Julai, media tempatan Xianhua melaporkan terdapat dua pesakit yang disyaki dijangkiti wabak bubonik di wilayah Khovd, di barat Mongolia.

Suspek berusia 27 dan 17 tahun yang disahkan positif selepas melalui ujian makmal itu disahkan dijangkiti wabak bubonik selepas menikmati haiwan marmot.

Sumber: CNN

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.