Siakap Keli

Empat Bot Vietnam Di Perairan Terengganu Ditahan

CHUKAI, 9 Julai  — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Terengganu menahan empat bot nelayan Vietnam bersama 31 awak-awak termasuk tekong yang melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara, Selasa lepas.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata semua bot nelayan itu ditahan di empat lokasi berbeza iaitu pada jarak 162 hingga 166 batu nautika dari Kemaman antara pukul 2.30 pagi hingga 5.10 pagi oleh Kapal Maritim (KM) Satria yang menjalankan Op Iman di perairan Terengganu.

“Seramai 31 awak-awak termasuk tekong berusia lingkungan umur 16-55 tahun ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan bot itu juga tidak mempunyai permit untuk menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya turut dirampas hasil tangkapan laut, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai hampir RM5 juta.

Beliau berkata semua nelayan yang ditahan bersama bot telah dibawa ke jeti Zon Maritim Kemaman dan kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 bagi kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara serta Akta Imigresen 1959/63, kerana tekong dan awak-awak tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Muhammad Suffi berkata kesemua tahanan telah dibawa masuk ke Zon Maritim Kemaman untuk proses saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum kes diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan lanjut.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebanyak 12 bot nelayan asing Vietnam telah ditahan dan ditangkap oleh Maritim Terengganu,” katanya dan menambah pihak Maritim tidak akan berkompromi dengan nelayan asing yang menceroboh perairan negara, mengaut hasil laut tanpa kebenaran.

“Rondaan dan pemantauan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya.

Beliau kemudiannya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai jenayah di perairan negara supaya melaporkannya dengan menelefon ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha