Siakap Keli

Gaduh Depan Masjid: Polis Panggil Individu Terlibat Tampil Bantu Siasatan

KUALA LUMPUR, 9 Julai (BERNAMA) — Polis meminta individu yang terbabit dalam insiden pergaduhan di depan Masjid Khalid Al-Walid di Jalan Padang Tembak, Datuk Keramat di sini semalam, tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Rajab Ahad Ismail berkata sehingga kini, hanya satu pihak tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu yang tular menerusi penyebaran video melalui media sosial.

“Kejadian itu dipercayai berlaku pada 7.45 pagi, membabitkan insiden pergaduhan di antara dua penunggang motosikal yang hampir berlanggar sesama mereka di depan sebuah masjid.

“Polis bagaimanapun masih menyiasat punca dan sebab kejadian itu berlaku. Justeru, polis menyeru mana-mana individu yang terlibat segera tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rajab Ahad juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran.

Semalam, tular sebuah klip video berdurasi satu minit 35 saat menerusi media sosial, memaparkan pergaduhan di antara dua penunggang motosikal sehingga menyebabkan anak serta isteri seorang daripada penunggang terbabit terjatuh dari motosikal yang dinaiki.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.