Siakap Keli

Guru Rugi RM333,000 Kerana Macau Scam, Ibu Tunggal Hilang RM40,450 Akibat Love Scam

ALOR SETAR, 8 Julai  — Seorang guru di sebuah sekolah di Changlun, dekat sini mengalami kerugian RM333,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam, manakala seorang ibu tunggal di Kepala Batas pula mengalami kerugian RM40,450 kerana terpedaya dengan ayat-ayat manis seorang lelaki ahli sindiket Love Scam, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Kedah, Supt Elias Omar berkata kejadian pada 29 Jun lepas bermula apabila guru lelaki berusia 51 tahun itu mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai petugas Pos Malaysia.

Beliau berkata suspek memberitahu kononnya guru itu telah melakukan kesalahan dengan membuat penghantaran bungkusan mengandungi kad pengenalan serta kad bank, dan kemudiannya guru itu disambungkan pula kepada seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai anggota polis.

“Seorang lagi suspek memperkenalkan diri sebagai Insp Mazlan kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Seremban yang kemudiannya memaklumkan bahawa guru itu terbabit dengan sindiket pengedaran dadah dan menghasilkan wang dengan cara haram,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya guru berkenaan yang bimbang kerana merasakan mungkin telah melakukan kesalahan serius dan takut diketahui pihak sekolah, kemudiannya membuat pemindahan wang secara berperingkat bermula hari yang sama (29 Jun) hingga 3 Julai lepas membabitkan 37 transaksi ke empat akaun bank.

Sementara itu di Kepala Batas, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata seorang ibu tunggal berumur 57 tahun mengalami kerugian RM40,450 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam.

Beliau berkata wanita yang merupakan pesara sebuah syarikat swasta itu memaklumkan dia mengenali seorang ahli perniagaan yang mendakwa tinggal di London, pada bulan Mei lepas menerusi laman sosial, dan terus bercinta beberapa minggu kemudiannya.

“… lelaki itu meminta wanita berkenaan membuka satu akaun bank kerana suspek dikatakan mahu meminjam akaun bank pesara itu kononnya bagi urusan perniagaan di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lelaki itu kemudiannya memberitahu dia berhasrat untuk menghantar hadiah hari lahir kepada wanita berkenaan seperti beg tangan, telefon bimbit dan wang tunai dalam bentuk dolar dalam masa terdekat sebagai tanda sayang.

Noorzainy berkata wanita itu kemudiannya kemudiannya dihubungi oleh seorang suspek yang mengaku ejen sebuah syarikat kurier yang meminta bayaran dibuat untuk menerima hadiah-hadiah berkenaan, lalu wanita itu membuat empat kali bayaran ke dalam dua akaun, membabitkan wang bernilai RM40,450.

“Wanita itu juga memaklumkan kali terakhir dia menghubungi teman lelakinya ialah pada Isnin lepas dan selepas itu dia gagal untuk menghubungi suspek untuk mendapatkan penjelasan, lalu wanita itu kemudian membuat laporan polis, semalam,” katanya.

Sumber: BERNAMA  

Nurul Najiha