Siakap Keli

Kakitangan Sekolah Batuk Depan Muka Bayi Dibuang Kerja Kerana Geram, Ibu Bayi Yang Tak Jaga Jarak Sosial

Seorang wanita dibuang kerja kerana didakwa dengan sengaja batuk depan muka bayi di California.

Sekolah Daerah Oak Grove di San Jose baru-baru ini mengumumkan wanita tersebut yang identitinya tidak didedahkan, bukan lagi merupakan kakitangan sekolah itu.

“Pihak kami mahu memaklumkan bahawa kami amat menitik beratkan keselamatan pelajar dan kanak-kanak di daerah ini.”

“Kami tidak bertolak ansur dengan tingkah laku dari mana-mana pekerja yang membahayakan keselamatan kanak-kanak,” katanya.

Kejadian tersebut berlaku pada 12 Jun lalu, apabila wanita berusia lingkungan 60-an itu sedang beratur di hadapan seorang pelanggan wanita bersama bayinya untuk membeli minuman.

Menurut laporan polis, wanita itu kesal kerana ibu kepada bayi berkenaan tidak menjaga jarak sosial dengan betul sebelum dia bertindak membuka topeng mukanya dan batuk beberapa kali di hadapan muka bayi tersebut.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) mengesyorkan agar orang ramai menjaga jarak sekurang-kurangnya enam kaki atau dua meter dari yang lain apabila berada di luar kawasan rumah mereka untuk mengurangkan penyebaran coronavirus. Virus ini juga merebak dari titisan udara yang dihasilkan ketika orang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap, kata agensi itu.

Menurut polis, siasatan sedang dijalankan dan nama wanita itu tidak akan didedahkan selagi surat perintah penangkapan mereka belum dikeluarkan.

Sumber: CNN

Nor Azilah