Siakap Keli

Pos Malaysia Lancarkan Setem Khas Sempena Ulang Tahun Rukun Negara Yang ke-50

KUALA LUMPUR, 9 Julai– Menelusuri sejarah dan peristiwa penting yang berlaku di dalam negara menjadi lebih menarik, apabila diterbitkan dalam bentuk setem yang boleh dijadikan kenangan untuk disimpan, hingga ke generasi akan datang.

Setelah separuh abad berada dalam jiwa rakyat Malaysia, Rukun Negara yang menjadi prinsip penyatuan rakyat di negara ini, akan dikeluarkan dalam bentuk setem khas, bagi memperingati sejarah dan kepentingannya kepada negara.

Membawa tema ‘Lima Puluh Tahun’, setem edisi khas itu dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada sambutan Ulang Tahun Rukun Negara ke-50 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Selain menampilkan elemen serta prinsip Rukun Negara dalam setem khas itu, logo serta sambutan 50 tahun Rukun Negara dan Bunga Raya turut dipilih, menjadi sebahagian koleksi setem khas tersebut.

Lebih menarik, lembaran mini yang dikeluarkan bersama setem khas itu, menggunakan warna emas pada peta Malaysia dan lima prinsip Rukun Negara, serta logo ulang tahun ke-50 bagi menandakan sambutan jubli emas falsafah negara itu, yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian negara selama ini.

Memperincikan mengenai setem yang akan mula dijual pada 18 Ogos depan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, siri setem itu menampilkan lima reka bentuk berlainan, dengan setiapnya memaparkan satu daripada lima prinsip Rukun Negara, logo sambutan 50 Tahun Rukun Negara dan bunga raya.

“Bunga raya diketengahkan kerana statusnya sebagai bunga kebangsaan dan lima kelopak bunga itu amat simbolik serta menyamai lima prinsip Rukun Negara.

“Secara keseluruhan, reka bentuk setem ini berteraskan konsep moden kontemporari, menggunakan warna-warna terang dan segar, serta reka bentuk moden bagi meningkatkan nilai estetika dan menjadikannya lebih menarik, sesuai dengan peredaran zaman dan penerimaan generasi baru,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, 250,000 keping setem pada harga 60 sen akan dikeluarkan pada setiap reka bentuk, dengan jumlah keseluruhan 1.25 juta keping setem, manakala Lembaran Mini yang dikeluarkan sebanyak 20,000 keping boleh dibeli pada harga RM5 setiap sekeping.

“Peminat setem juga boleh mendapatkan folder khas, bagi melengkapkan koleksi setem edisi khas Lima Puluh Tahun Rukun Negara mereka.

“Namun, Pos Malaysia merancang untuk mengeluarkan kuantiti terhad sebanyak 3,000 set folder sahaja bagi siri ini,” katanya.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah