Siakap Keli

Pulau Pinang Muktamadkan Dan Koordinasi SOP Minggu Hadapan

GEORGE TOWN, 9 Julai — Kerajaan negeri Pulau Pinang akan menemui agensi-agensi penguatkuasaan minggu hadapan, bagi memuktamad dan mengkoordinasikan kesemua prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Jagdeep Singh Deo hari ini berkata, mesyuarat itu akan melibatkan agensi seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Jagdeep yang juga mempengerusikan dua jawatankuasa di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, tujuan utama mesyuarat itu adalah bagi memperhalusi dan memperkemaskan SOP yang diperkenalkan di kedua peringkat negeri dan persekutuan, di samping mengelakkan pertindihan dan percanggahan antara SOP di pelbagai sektor.

“Sebagai contoh, kuil dan majlis perkahwinan mempunyai SOP masing-masing, tetapi apabila majlis perkahwinan diadakan di kuil, terdapat beberapa bahagian dalam SOP yang bertindih dan bercanggah antara satu sama lain, di mana akan menyebabkan kekeliruan pada orang ramai,” katanya kepada pemberita di Dewan Bandaraya Pulau Pinang di sini.

Menurutnya, sehingga kini sejumlah 53 SOP telah diperkenalkan di peringkat Persekutuan oleh 32 kementerian dan agensi kerajaan.

“Lebih banyak SOP akan diperkenalkan dari semasa ke semasa, oleh sebab itu kami perlu mengkordinasikan kesemua SOP ini antara agensi penguatkuasa, pada masa yang terdekat,” katanya.

Sementara itu Jagdeep turut mengumumkan yang Pulau Pinang terus mengekalkan rekod tingginya dalam kadar pematuhan SOP.

Beliau berkata sehingga 5 Julai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah merekodkan kadar pematuhan SOP 99.68 peratus, selepas memeriksa 177,498 premis di pulau tersebut.

“Sementara, Majlis Perbandaran Seberang Perai juga telah memeriksa 340,465 premis di kawasannya dan merekodkan kadar pematuhan SOP 99.28 peratus,” katanya lagi.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah