Siakap Keli
Gambar Hiasan Via Google

Remaja Perempuan Dijumpai Mati, Dipercayai Terjatuh Dari Pangsapuri

BUKIT MERTAJAM, 9 Julai (Bernama) — Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dijumpai mati selepas dipercayai terjatuh dari sebuah pangsapuri di kawasan Perai Indah sini hari ini, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad.

Katanya pihak polis dihubungi pada 1.57 tengah hari tadi memaklumkan terdapat mayat remaja perempuan terjatuh di pangsapuri berkenaan dan hasil siasatan mendapati mangsa adalah anak sulung daripada dua beradik dan masih bersekolah di tingkatan tiga.

“Temu bual yang dilakukan dengan keluarga mangsa mendapati dia seorang yang sangat sensitif, remaja itu sepatutnya menyambut upacara (mencapai) akil baligh namun disebabkan ibunya yang bekerja di Singapura tidak dapat pulang majlis itu terpaksa dibatalkan dan ia membuat mangsa sedih,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya mangsa dan adik perempuannya tinggal bersama ibu serta bapa saudara mereka di pangsapuri berkenaan manakala bapanya bekerja di sebuah hotel di bahagian pulau negeri ini.

Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat dan polis  mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Dalam perkembangan lain, Shafee berkata polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah didalangi warga tempatan selepas menahan dua lelaki dan merampas dadah jenis heroin serta syabu bernilai RM26,825 dalam serbuan di sebuah rumah dekat Bukit Mertajam di sini, Isnin lepas.

Beliau berkata dua lelaki berusia 37 dan 43 tahun itu ditahan dalam serbuan pukul 7.30 malam, hasil risikan dan intipan polis sejak seminggu lepas.

“Dalam serbuan itu polis merampas 2,889 gram(g) heroin dan 11.45g syabu yang kesemuanya bernilai RM26,825. Siasatan awal mendapati dua lelaki itu terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas serta pasaran mereka adalah sekitar Daerah SPT,” katanya.

Katanya lagi kedua-dua mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dipercayai hidup mewah hasil kegiatan pengedaran dadah dan ekoran penahanan mereka polis menyita pelbagai harta antaranya empat kenderaan, barangan kemas serta wang tunai yang kesemuanya bernilai RM86,112.

Beliau berkata dua suspek itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right