Siakap Keli
hukum bulu kucing
Kredit: Google

Apa Hukum Bulu Kucing Yang Tertanggal? Ini Jawapan Mufti

Kucing sering dijadikan pendamping manusia. Dengan wajahnya yang comel dan sikapnya yang manja, haiwan ini sering menjadi penghibur di kala duka.

Suka mencari perhatian, haiwan ini sering ‘menempel’ ketika tuannya melakukan sesuatu kerja seperti mengemas rumah ataupun bersolat.

Hal ini kadangkala menimbulkan keraguan mengenai status bulu kucing sama ada ia najis ataupun tidak, terutama ketika sedang beribadah.

Berikut merupakan penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai hukum bulu kucing yang tertanggal.

Dalam hal ini, suka saya nyatakan bahawa kucing merupakan haiwan peliharaan yang selalu berlengkar di kaki tuannya. Hal ini amat jelas dalam banyak riwayat hadis.

Menurut ulama bermazhab Syafie, bulu kucing yang tercabut daripada binatang yang haram dimakan, bulu itu adalah najis.

Oleh kerana kucing adalah binatang yang haram dimakan, maka bulu yang tercabut semasa kucing itu masih hidup adalah najis.

Namun bulu kucing itu adalah najis yang dimaafkan kerana kucing adalah binatang peliharaan dan sukar untuk dikawal dan berkebarangkalian bulunya merata-rata dan sukar dikawal.

Oleh itu, jika badan, pakaian atau tempat sembahyang terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah.

Kabshah binti Ka’ab Ibn Malik melaporkan: “Pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu saya menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk.

Kemudian datang seekor kucing dan ia menjilat air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu menjilat air daripada bekas tersebut.”

Kabshah meneruskan kata-katanya, Abu Qatadah perasan yang saya memandang kepadanya lalu dia bertanya, “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?”

Saya menjawab, “Ya.”

Abu Qatadah menjelaskan, Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia adalah binatang yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Hadis sahih direkod oleh Imam Abu Daud, Tirmizi, al-Nasa’i, dan Ibn Majah.

Justeru, dalam hal seperti ini adalah dimaafkan dan tidaklah menjadi perkara yang perlu diperbesarkan. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita semua.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.