Siakap Keli
Gambar: Bernama

KPDNHEP Sahkan Berlaku Kenaikan Harga Ayam Pada 4 Jun Hingga 19 Jun

Harga ayam naik antara 10 sen dan RM1.50 dalam tempoh antara  4 Jun hingga 19 Jun lepas berdasarkan maklum balas diberikan peniaga, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata  maklumat itu diperoleh susulan notis dikeluarkan KPDNHEP di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kepada 310 peniaga ekoran rungutan orang awam yang mendakwa berlakunya kenaikan harga ayam di peringkat peruncit.

Berdasarkan data analisis terdapat 27 peruncit menjual ayam pada harga satu kilogram antara RM9.50 dan RM10; 26 peruncit menjual pada harga antara RM9 dan RM9.40 dan 58 peruncit menjual pada harga di bawah RM9, katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kenaikan harga ayam di peringkat pemborong berlaku antara 30 sen dan RM1.10, dengan harga ayam di peringkat pemborong adalah antara RM6.50 dan RM8.50, manakala di peringkat peladang pula antara RM5.70 dan RM6.

Iskandar Halim berkata berdasarkan sumber data Jabatan Perkhidmatan Veterinar, harga ayam bagi minggu 29 Jun hingga 5 Julai telah turun iaitu antara RM5.90 hingga RM6 di peringkat ladang, RM5.99 hingga RM8.99 di peringkat borong dan RM8 hingga RM9.50 di peringkat runcit bagi Semenanjung Malaysia.

Harga ayam di Sabah dan Sarawak bagi ketiga-tiga peringkat tersebut masih kekal sepertimana minggu sebelumnya dari Mac lagi, katanya.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right