Siakap Keli

Pawagam Pandu Masuk: Penyelesaian Bagi Individu Ragu-Ragu Tonton Wayang Beramai-Ramai?

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik COVID-19 sememangnya menjejaskan banyak sektor perniagaan dan aktiviti sosial.

Namun di sebalik itu, terdapat sudut kebaikan menerusi beberapa inovasi baharu mula diadaptasi dalam kehidupan seharian.

Dalam situasi kebiasaan baharu ini, pernahkah rakyat Malaysia membayangkan sebuah pawagam pandu masuk dibuat nanti sepertimana terdapat di beberapa negara maju yang sudah pun sekian lama melaksanakannya?

Jika sebelum ini banyak negara lain, termasuk negara jiran Thailand, mula memilih untuk membuka pawagam pandu masuk sebagai alternatif berikutan COVID-19, kini ia juga nampaknya menjadi kenyataan di Malaysia.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media semalam berkata, ia tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk pengunjung mesti berada di dalam kenderaan masing-masing, penjualan makanan dibuat secara dalam talian dan mengambil makanan secara pandu lalu.

Untuk itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperincikan SOP berkaitan aktiviti itu bagi rujukan semua operator yang terlibat.

Ini mungkin boleh menjadi jalan penyelesaian bagi mereka yang ragu-ragu untuk menonton wayang beramai-ramai di dalam ruang yang tertutup memandangkan wabak COVID-19 masih menimbulkan kebimbangan.

Cuma, timbul persoalan adakah pawagam pandu masuk ini relevan dilaksanakan di negara ini dengan mengambil kira faktor cuaca dan bunyi kenderaan selain sikap segelintir pemandu Malaysia yang sambil lewa? Semua itu diharapkan perlu diambil kira juga oleh pihak pengurusan pawagam.

Sebelum ini mulai 1 Julai, aktiviti pawagam, teater dan juga live event telah dibenarkan namun kesemua aktiviti itu hanya dibenarkan beroperasi di dalam kawasan tertutup atau dewan tertutup dengan syarat perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan.

Hari ini hari ke-115 PKP sejak dilaksanakan mulai 18 Mac dan merupakan hari ke-30 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan usaha mengekang penularan COVID-19 di negara ini terus menunjukkan hasil yang baik apabila sifar kes penularan tempatan direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas, iaitu hari kedua berturut-turut pada semalam.

Tiada kematian baharu turut direkodkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kumulatif kes maut akibat wabak itu kekal 121 kes untuk hari ke-24 berturut-turut.

Apa-apa pun, sehingga vaksin untuk virus tersebut ditemukan, adalah penting bagi rakyat Malaysia terus berhati-hati dan konsisten mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

 

Sumber: Bernama

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.