Siakap Keli
Gambar : Bernama

Seni Busana Anak Patung Wesley Dapat Perhatian MOTAC

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Seni busana anak patung dihasilkan pemuda Iban, Wesley anak Juntan mendapat perhatian Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang berhasrat membantu mengembangkan hasil berkenaan sebagai produk pelancongan baharu.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Nancy Shukri berkata hasil tangan Wesley berpotensi dijadikan produk pelancongan seni dan budaya yang boleh dipasar di dalam dan luar negara.

“Apa yang Wesley lakukan memberi idea kepada saya agar hasil seni tangannya dapat dijadikan sebagai produk pelancongan yang baharu berasaskan seni dan budaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Saya memberitahu Wesley untuk menjadikan hobi ini sebagai satu perusahaan untuk mengeluarkan lebih banyak busana patung-patung kecil berpakaian tradisional Malaysia seperti ini dan memasarkannya ke luar negara,” tambahnya.

Kreativiti Wesley menjadi tular di media sosial baru-baru ini selepas langkah beliau menghasilkan busana etnik Sarawak yang dipakaikan kepada anak patung mendapat perhatian ramai.

Nancy berkata kementeriannya akan menghubungkan mereka yang berbakat dengan agensi seperti Perbadanan Kraftangan Malaysia bagi membantu dalam aspek pembangunan dan mengembangkan penghasilan produk.

Susulan itu, beliau menyeru orang ramai untuk terus berkreativiti dan berinovasi dalam mencipta produk pelancongan seni dan budaya yang unik dan mempunyai kelainan tersendiri.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha