Siakap Keli
Gambar: MKN

(Video) TERKINI: Liga Super Malaysia Dibenar Bersambung Semula 15 Ogos Ini

Putrajaya, 10 Julai- Kerajaan membenarkan penganjuran sukan dan pertandingan sukan tanpa penonton bermula 15 Julai ini.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penganjuran sukan dibenarkan bermula 15 Julai ini manakala penganjuran kejohanan bermula pada 15 Ogos depan.

“Penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton melibatkan sukan tiada sentuhan fizikal seperti sukan permotoran dan sukan individu bermula Rabu, 15 Julai ini,” katanya.

“Sukan-sukan tersebut termasuklah perlumbaan permotoran seperti lumba motosikal dan kereta di litar-litar tempatan.”

Antara contoh sukan yang dibenarkan ialah sukan badminton persendirian, tenis perseorangan, gimnastik, terjun papan anjal, pertandingan catur dan sebagainya.

“Bagi sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal pula juga akan bermula 15 Julai 2020 iaitu untuk sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, bola keranjang, takraw, sukan tempur seperti karate, silat, tae kwon do dan sebagainya yang tak melibatkan kejohanan-kejohanan besar,” ujar beliau.

Pengusaha padang komersial, fasiliti sukan dan akademi dibenarkan beroperasi pada 15 Julai 2020.

Mesyuarat juga bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan yang tidak melibatkan penonton peringkat di dalam negara sahaja.

“Oleh itu sukan bersentuhan fizikal, untuk sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang dan skuasy dibenarkan bermula 15 Ogos 2020.

“Contoh kejohanan pertandingan pasukan adalah seperti berikut, Liga Super, Liga Premier, MFL, liga sepak takraw, liga hoki, liga ragbi. Ini merupakan liga-liga yang dibenarkan untuk memulakan pertandingan mereka pada 15 Ogos nanti,” tambahnya.

Pun begitu katanya, pelaksanaan aktiviti sukan dan penganjuran kejohanan perlu diadakan dalam keadaan terkawal oleh operator premis dengan penganjuran mematuhi prosedur standard operasi antaranya seperti berikut:

  • Setiap peserta atau pemain perlu memuat turun aplikasi MySejahtera.
  • Disaring suhu dan gejala.
  • Kawalan petugas dan pengguna dihadkan mengikut sesi dan keluasan premis.
  • Peralatan perlu dibersih dan dinyahkuman selepas setiap penggunaan.
  • Galakkan penempahan, pengesahan slot secara atas talian sebelum hadir ke premis berkaitan.

Semua SOP lengkap akan dimuatnaik MKN dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat untuk rujukan, katanya.

Penganjuran kejohanan dan pertandingan hanya terhad kepada acara kejohanan tempatan sahaja tanpa penonton dan tidak melibatkan perhimpunan ramai.

“Acara antarabangsa melibatkan peserta luar negara tidak dibenarkan sama sekali,” tegasnya.

Sumber: Majlis Keselamatan Negara

Amira

Love yourself.

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.