Siakap Keli

Khoo Kay Kim Simbol Semangat Perpaduan Malaysia Sebenar – Sultan Selangor

SHAH ALAM, 11 Julai — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan mendiang Prof. Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim sebagai simbol semangat perpaduan Malaysia yang sebenar.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin berharap  jasa-jasa dan sumbangan sejarawan seperti mendiang terus dikenang oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

Titah Sultan Selangor itu dipetik oleh kenyataan Istana Selangor hari ini yang turut memaklumkan Sultan Sharafuddin berkenan menerima menghadap balu sejarawan negara itu,  Puan Sri Rathi Khoo serta dua anaknya, Eddin dan Rubin pada 9 Julai lepas.

Menurut Istana Selangor, Sultan Sharafuddin yang telah mengenali mendiang sejak awal 1980-an, turut menzahirkan kekaguman terhadap semangat dan usaha tokoh sejarah itu yang sentiasa mengutamakan fakta yang benar dan sahih dalam penyampaiannya, sekalipun ada pihak yang cuba memutar belit kenyataan.

“Baginda turut menyampaikan penghargaan dan rasa sukacita terhadap jasa bakti mendiang ketika hayatnya dalam menyuarakan pendapat serta buah fikiran yang bernas dalam pelbagai bidang khususnya sejarah tempatan.”

“Ini termasuk menyemarakkan kembali semangat cintakan sejarah dalam kalangan anak muda serta dalam pembangunan arena sukan tempatan khususnya bola sepak,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut Istana Selangor, Sultan Sharafuddin pada masa sama menzahirkan rasa kurang senang dengan persepsi dan layanan segelintir kaum Cina yang seakan memandang sepi sumbangan dan kepakaran mendiang.

“Baginda juga hairan masih ada ahli-ahli politik tertentu yang mengambil remeh tentang kepentingan sejarah bangsa di Malaysia yang sering ditekankan oleh mendiang untuk dijadikan teladan serta pengajaran.

“Untuk itu, baginda berpesan kepada semua pihak khususnya ahli politik agar belajar dan memahami sejarah dengan betul sekiranya mahu terus bergerak ke masa hadapan yang lebih baik,” demikian menurut kenyataan itu.

Pada majlis berkenaan, balu mendiang turut merafak sembah menjunjung kasih atas perkenan Sultan Sharafuddin yang mengabdikan  nama mendiang suaminya pada sebatang jalan di Petaling Jaya yang kini dikenali Jalan Prof Khoo Kay Kim.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.