Siakap Keli

Pemandu Bas Mati Otak Dibelasah Selepas Tegur Penumpang Tak Pakai Topeng Muka Dilapor Meninggal Dunia

Seorang pemandu bas di Bayonne, Perancis yang dilaporkan cedera parah sehingga mati otak selepas dibelasah penumpang dilaporkan meninggal dunia semalam.

Tragedi yang menimpa mangsa, Philippe Monguillot, 59, menggemparkan dunia apabila tindakannya menegur penumpang yang ingkar arahan memakai topeng muka berakhir dengan tragedi, lima hari lepas.

”Kami mengambil keputusan untuk membiarkannya ‘pergi’,” kata anaknya, Marie dimana keputusan itu turut dipersetujui oleh doktor yang merawat mangsa, lapor media AFP.

Dua lelaki berusia 20-an ditahan dan didakwa atas keselahan cubaan membunuh dalam kejadian yang berlaku Ahad lepas.

Manakala dua lelaki lagi turut ditahan atas kesalahan gagal menghulurkan bantuan kepada individu yang nyawanya teracam dan seorang ditahan atas kesalahan cubaan melindungi suspek.

Kejadian malang berkenaan dilaporkan berlaku selepas mangsa meminta tiga suspek yang ditahan untuk memakai topeng sebelum menaiki bas dan memeriksa tiket mereka.

Menurut undang-undang Perancis, topeng muka wajib dipakai ditempat awam sebagai sebahagian daripada usaha mengekang pandemik COVID-19.

Insiden berkenaan turut menarik perhatian Datuk Bandar Bayonne yang menyifatkan tindakan suspek sebagai tidak bertamadun.

Rabu lepas, ribuan penduduk tempatan keluar memenuhi jalanan sebagai tanda protes terhadap tragedi itu.

Tragedi tersebut turut menyaksikan perkhidmatan bas di bandar berkenaan terjejas teruk selepas pemandu-pemandu bas bersatu enggan bekerja sebagai tanda boikot.

Sumber: BBC

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.