Siakap Keli
Gambar: BERNAMA

“Saya Haramkan Semua Majlis Berfoya-Foya Di Pejabat,” – Ketua Polis Negara

Tiada lagi aktiviti mewah melibatkan pegawai-pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibenarkan selepas ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, larangan tersebut termasuklah mengadakan majlis keramaian bagi merayakan hari lahir pegawai tinggi di pejabat mahupun lawatan ke mana-mana tempat.

“Saya haramkan semua majlis berfoya-foya di pejabat.

“Ada pegawai-pegawai tinggi polis dibelanja makanan laut sehingga bil mencecah ribuan ringgi, siapa hendak bayar semua itu? Budaya sedemikian saya hendak buang dan tidak mahu ada dalam PDRM,” katanya, memetik laporan BERNAMA hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Hamid turut menjelaskan, siasatan bagi kesemua kes-kes ‘sejuk-beku’ Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang tidak diselesaikan sejak beberapa tahun lepas akan diteruskan semula.

Difahamkan, pegawai yang bertanggungjawab diberi tempoh sebulan untuk menyelesaikannya.

Gambar: BERNAMA

“Antara kes berkenaan ialah penipuan dalam talian dengan banyak kes tertangguh disebabkan pegawai penyiasat tidak melaksanakan tugas dengan baik, termasuk ada yang tidak menjalankan siasatan.

“Selain itu, ada juga kes JSJK yang mempunyai waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah dan ada laporan polis yang dibuat pada 2013 (tapi siasatan) tidak berjalan,” tambahnya lagi.

Menurutnya, pihaknya akan mengenal pasti pegawai penyiasat yang bertanggungjawab untuk diarah menyelesaikan kes masing-masing.

“Kes-kes sejuk beku ini perlu dibuka semula untuk memberi keadilan kepada mangsa yang teraniaya dan kami cari siapa pegawai penyiasat berkenaan, beri dia amaran satu bulan untuk siapkan siasatan kes,” jelasnya.

Dalam masa sama, Abdul Hamid menegaskan pihaknya tidak akan memberi sebarang ruang kepada kegiatan perjudian dalam talian.

“Judi dalam talian memang saya lawan habis-habisan, saya tidak bagi peluang dan saya haramkan mana-mana tauke judi datang untuk berjumpa dan berbaik dengan saya,” tegasnya lagi.

Sumber: BERNAMA

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.