Siakap Keli

Broker Tanah Didakwa Tipu Urusan Pembelian Tanah Babitkan Kerugian RM1.05 Juta

KLANG, 13 Julai  — Seorang broker tanah hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap 28 pertuduhan memperdaya sebuah syarikat bagi urusan pembelian tanah lot membabitkan kerugian RM1.05 juta.

Pendakwaan dilakukan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Razali Ariffin dan Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Di hadapan Hakim Ahmad Zamzani, Yap Boon Pin, 45, didakwa memperdaya syarikat Kwang Shen Steel Industries Sdn Bhd untuk membayar wang berjumlah RM950,000 menerusi 24 transaksi  kepadanya bagi diserahkan kepada seorang lelaki yang memiliki tanah lot tersebut.

Yap juga didakwa di hadapan Hakim Razali, memperdaya syarikat Kwang Shen Steel Industries Sdn Bhd untuk membayar wang berjumlah RM80,000 itu menerusi empat transaksi kepadanya bagi diserahkan kepada seorang lelaki yang memiliki tanah lot tersebut.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat syarikat berkenaan di Jalan Tiaj 2/5, Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam antara 12 Feb hingga 21 Dis 2018.

Yap didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat serta denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Suhaili Abu Bakar menawarkan jaminan RM150,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan terhadapnya memandangkan dia kini tidak lagi bekerja dan perlu menanggung ibu yang sakit, isteri dan empat anak bersekolah.

Razali membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 untuk empat pertuduhan manakala Hakim Ahmad Zamzani memerintahkan Yap membayar wang jaminan sebanyak RM117,000 untuk 24 pertuduhan dan  menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri ke balai polis setiap bulan.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 13 Ogos ini untuk tertuduh melantik peguam dan urusan serahan dokumen.

Sumber: BERNAMA

Nor Azilah