Siakap Keli

318 Operasi Sanitasi Dilaksanakan Di Pulau Pinang – Bomba

BATU KAWAN, 14 Julai  — Sebanyak 318 operasi sanitasi telah dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang di premis seluruh negeri ini dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Pengarah JBPM negeri, Saadon Moktar berkata operasi sanitasi yang dilaksanakan bermula 30 Mac hingga 19 Jun lepas meliputi kawasan yang berisiko dan bangunan kerajaan serta pengangkutan awam seperti bas dan van yang membawa pelajar institusi pengajian tinggi.

“Bagaimanapun, kami akan memberi perhatian kepada tempat tumpuan seperti pasar awam, pasar raya dan sebagainya sekiranya diperlukan untuk operasi berkenaan selain turut dibantu oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam operasi tersebut.

“Namun, pada masa kini bomba masih lagi melaksanakan operasi nyah cemar bergantung kepada permohonan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2019 JBPM Pulau Pinang, di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan APC kepada 61 penerima terdiri daripada anggota JBPM Pulau Pinang dan turut menyampaikan replika kunci ‘Fire Response Vehicle’ kepada tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) iaitu Balik Pulau, Kuala Muda dan Nibong Tebal.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha