Siakap Keli
Gambar : Bernama

Lelaki Ditahan Pukul Sepupu Dengan Paip PVC Kerana Bising

BUTTERWORTH, 14 Julai — Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul sepupunya menggunakan paip PVC sehingga lebam dan cedera hanya kerana bunyi bising ketika suspek sedang tidur di kawasan rumah mereka di Permatang Kerai Besar, di sini awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pukul 6.30 petang semalam, selepas sepupunya berumur 26 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku pada 3 pagi Sabtu tersebut.

“Dalam kejadian berkenaan, suspek sedang tidur dan dia terdengar bunyi bising di luar rumah sebelum terus keluar dan mendapati sepupu lelaki dan sepupu perempuannya sedang mengalihkan kenderaan. Perbuatan itu menyebabkan suspek tidak tahan kerana tidurnya diganggu.

“Lelaki itu terus mengambil paip PVC sebelum memukul belakang badan dan paha kiri sepupu lelakinya. Mangsa cuba mempertahankan diri daripada dipukul, namun dia mengalami lebam dan luka serta sakit di bahagian terbabit. Suspek masuk semula ke dalam rumah selepas itu untuk tidur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya mangsa membuat laporan polis semalam kerana bimbang keselamatan diri, ibu bapanya dan ibu saudara serta neneknya yang tinggal di kawasan yang sama malah rumah mereka terletak dalam jarak dua meter antara satu sama lain.

Menurutnya siasatan awal mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik malah ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan dia kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha