Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Bernama

Lima Ditahan Termasuk Seorang Wanita, Dadah Hampir RM1 Juta Dirampas Di Ibu Negara

Kuala Lumpur: Polis menahan lima individu dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM1 juta dalam dua serbuan di ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan pada Khamis dan Jumaat lepas.

Mengulas tangkapan pertama, beliau berkata pihaknya menahan seorang lelaki berusia 60 tahun yang menunggang motosikal di Taman Lagenda Mas, Cheras dekat sini Khamis lepas,  kira-kira pukul 7.35 malam  dan menemukan  21,400 biji pil Erimin 5 serta wang tunai berjumlah RM1,140.

”Hasil soal siasat, suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah rumah di Taman Connaught. Sebanyak 400 biji pil Erimin 5 ditemui di lokasi itu.

Dua (lagi) suspek iaitu isteri (berusia 56 tahun)  dan anaknya (berusia 30 tahun) yang berada di rumah turut ditahan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek disyaki aktif melakukan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lepas dan nilai dadah yang dirampas pada serbuan Khamis lepas itu ialah RM328,140.

”Suspek menggunakan motosikal untuk melakukan kegiatan pengedaran dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Dalam satu lagi serbuan pada Jumaat pula, Mazlan berkata pihaknya menahan dua lelaki berusia 44 dan 47 tahun yang menaiki kereta Mercedes Benz di kawasan Batu 5, Jalan Klang Lama, di sini pada kira-kira pukul 2.15 petang.

”Pemeriksaan di dalam kereta itu membawa kepada penemuan dadah disyaki kokain. 

Bekalan kokain ini dipercayai untuk pasaran di luar negara iaitu Taiwan dan salah seorang suspek mempunyai lapan rekod jenayah,” katanya.

Kokain yang dirampas adalah seberat 3.3 kilogram dan bernilai RM600,000.

Beliau berkata kesemua suspek kini direman selama enam hari dari tarikh ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

— BERNAMA

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.