Siakap Keli

40 Anggota Polis IPD Kota Kinabalu Selesai Jalani Kuarantin, Negatif COVID-19

KOTA KINABALU, 15 Julai — Seramai 40 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah sejak tiga minggu lepas selesai berbuat demikian semalam dan disahkan negatif COVID-19.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata sebelum ini, kesemua anggota polis berkenaan telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah disebabkan terdapat seorang orang kena tahan (OKT) yang ditangkap kerana kesalahan dadah didapati positif COVID-19 semasa ujian kali pertama.

“Namun semalam, OKT berkenaan telah dikeluarkan daripada hospital kerana disahkan negatif COVID-19 apabila ujian kali kedua dikeluarkan.

“Kesemua anggota yang bekerja di lokap berkenaan juga telah disahkan negatif COVID-19 dalam ujian kali kedua dan selesai menjalani arahan kuarantin di rumah,” katanya kepada pemberita selepas meninjau perjalanan persekolahan di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu dekat sini, hari ini.

Mengulas mengenai lawatan berkenaan, Habibi berkata ia bertujuan melihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah tersebut seperti yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan, selain memastikan tiada penglibatan jenayah di sekolah itu.

“Setelah sekian lama sekolah ditutup akibat penularan COVID-19 di negara ini, hari ini sekolah-sekolah telah dibuka dengan melaksanakan kebiasaan baharu. Di sekitar daerah ini sebanyak 19 sekolah menengah dan 34 sekolah rendah telah beroperasi hari ini dan saya telah arahkan pegawai perhubungan sekolah (PPS) untuk memantau di sekolah masing-masing.

“Saya telah tempatkan sebanyak dua pegawai polis di setiap sekolah di daerah ini. Mereka akan membantu memantau pematuhan SOP di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.

Tambah komen

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.