Siakap Keli

Dua Lelaki Ditahan Perlekeh Hari Jawi

KUALA LUMPUR, 15 Julai  — Polis menahan dua lelaki yang disyaki membuat komen memperlekeh pengumuman kerajaan berkenaan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ menerusi media sosial, dalam dua serbuan di Perak dan Pulau Pinang, semalam dan hari ini.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Mior Faridalathrash Wahid berkata dua lelaki berusia 25 dan 35 tahun itu masing-masing ditahan di Tanjung Rambutan, Perak dan Butterworth, Pulau Pinang.

Menurutnya, kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor untuk siasatan mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998.

“Kedua-dua mereka ini ditahan dan direman kerana memuat naik kenyataan di laman sosial berhubung hari Jumaat sebagai Hari Jawi.

“Seorang lagi individu yang berkaitan dengan kes ini sedang dicari bagi membantu siasatan dan polis sudah mengenal pasti identiti lelaki berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Ahad lepas, satu kertas siasatan dibuka selepas laporan polis dibuat di Kluang, Johor berhubung komen netizen yang memperlekeh hari Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengumumkan Jumaat sebagai Hari Jawi dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.

Dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya akan mendapatkan pendapat pakar sejarah berhubung buku yang dikaitkan dengan dakwaan penghinaan terhadap Jata Negara bagi membantu siasatan.

“Siasatan mendapati ada beberapa artikel dalam buku itu berunsur hasutan dan kita akan mendapatkan pakar sejarah tempatan dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata lapan penulis buku tersebut sudah dipanggil semalam untuk memberi keterangan.

Katanya lagi kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada minggu depan untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini Bernama melaporkan pereka gambar dan penerbit buku sudah hadir memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

Pada 30 Jun lepas, polis menyerbu sebuah syarikat percetakan di Petaling Jaya dan merampas sejumlah 313 naskhah buku didakwa menghina Jata Negara.

Setakat ini, polis sudah menerima 203 laporan berhubung isu berkenaan dan empat kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sumber: Bernama

Nor Azilah