Siakap Keli

Jurujual Cedera Dipukul Sebelum Disamun Semasa Dalam Lif

BUKIT MERTAJAM, 15 Julai – Seorang jurujual bukan sahaja cedera ditumbuk dan dipukul tiga lelaki, malah kereta Toyota Vios serta duit dan telefon bimbitnya turut dilarikan dalam kejadian samun semasa dalam lif di sebuah pangsapuri di Bandar Perai Jaya, Perai di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Shafee Abd Samad berkata lelaki berumur 27 tahun itu disamun oleh tiga lelaki berumur sekitar 30-an semasa dia menaiki lif untuk ke rumah rakannya di tingkat 16 pangsapuri berkenaan pada pukul 12.15 malam.

Beliau berkata semasa pergelutan di dalam lif, lelaki itu ditumbuk beberapa kali di bahagian pipi kiri dan kanan serta di bahagian mulut, dan suspek turut merampas beg lelaki itu yang mengandungi dompet, telefon bimbit serta kunci kereta sebelum melarikan diri.

Menurutnya selepas membuat laporan polis, lelaki itu pulang ke rumah sewanya untuk mengambil kunci pendua kereta, namun sebaik sampai ke tempat parkir berhampiran pangsapuri berkenaan, dia mendapati keretanya telah hilang.

“Lelaki itu mengalami kerugian kira-kira RM25,000 selepas kereta, wang tunai, telefon bimbit serta dokumen peribadinya disamun suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shafee berkata polis sedang meneliti kamera litar tertutup di kawasan berkenaan untuk membantu siasatan, dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta membantu dengan menyalurkannya kepada polis.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang