Siakap Keli

Kerani Kanan Kilang Dipenjara Lima Tahun Pecah Amanah Lebih RM300,000

MELAKA, 15 Julai  — Seorang kerani kanan sebuah kilang elektronik dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas 208 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM308,709.14 antara 2010 hingga 2015.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara ke atas individu berusia 37 tahun itu bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap iaitu semalam.

Mengikut pertuduhan, dia yang bertugas di jabatan pembayaran gaji telah melakukan pecah amanah jenayah dengan menyalahgunakan harta tersebut di kilang Infineon Batu Berendam di sini antara 5 Jan 2010 hingga 26 Jun 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 14 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, jurubahasa mahkamah mengambil masa kira-kira dua jam untuk membacakan kesemua pertuduhan yang dihadapinya.

Menurut fakta kes, pihak kilang mendapati banyak transaksi pembayaran gaji pekerja dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh, bagaimanapun semua pekerja terlibat telah menerima gaji masing-masing.

Dia didapati telah membuat surat kepada pihak kewangan mendakwa gaji pekerja terlibat tidak diterima kerana mempunyai masalah tertentu.

Tertuduh kemudian mengambil kesempatan membuat permohonan semula pembayaran gaji dengan memasukkan jumlah gaji itu ke akaun bank miliknya sendiri.

Ketika merayu hukuman ringan, dia memaklumkan mahkamah bahawa dia dan suaminya berdepan ugutan serta masalah pinjaman ceti haram atau ‘Along’ selain amat menyesal dengan perbuatannya itu.

Tertuduh yang menangis ketika membuat rayuan tersebut juga berkata dia melakukan perbuatan itu bagi membantu arwah ibunya yang menghidap kanser payudara kerana ahli keluarga mereka yang lain tidak mempunyai pendapatan cukup untuk menghulurkan bantuan.

Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin pula berhujah RM308,709.14 bukan satu jumlah yang sedikit dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atasnya sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat secara umum.

Pendakwaan turut dibantu tiga lagi Timbalan Pendakwa Raya iaitu Hayatul Wirdah Mohd Yunos, Anis Wahidah Mohamad dan Mazuin Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber: BERNAMA

Nurul Najiha