Siakap Keli

PLKN Ajar Remaja Sayangkan Negara Wajar Dikembalikan Semula

KOTA BHARU, 15 Julai  — Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) wajar dikembalikan kerana ia berjaya mengajar golongan remaja untuk sayangkan negara dan bersifat patriotik, kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Beliau berkata perpaduan dalam negara kini dilihat semakin rapuh tanpa sebarang program yang tersusun seperti PLKN  yang diyakini mampu membendung kerapuhan itu daripada terus membarah.

“Cinta kepada negara semakin luput manakala penghayatan terhadap Rukun Negara mulai malap. Bendera (Jalur Gemilang) pun sudah jadi semacam kain buruk.

“PLKN mengajar supaya kita sayangkan negara. Membentuk remaja bersifat patriotik adalah objektif utama dalam PLKN di samping melahirkan remaja berjati diri yang teguh,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika berucap di Dewan Rakyat menggesa agar beberapa program yang ditamatkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) disebabkan kos yang tinggi, antaranya PLKN, dapat dikembalikan semula.

Abdul Hadi berkata jati diri amat penting dalam mempertahankan kedaulatan negara secara sukarela kerana konsep Pertahanan Menyeluruh (Hanruh) tidak dapat dicapai tanpa penglibatan seluruh masyarakat walaupun mereka tidak memegang senjata.

“PLKN melatih mereka menjiwai semangat sukarelawan dan melatih mereka bergerak secara terancang dan tersusun,” katanya.

Katanya kajian dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia terhadap 60,000 responden melibatkan bekas pelatih, ibu bapa, ketua masyarakat dan sebagainya pada 2010 mendapati kajian persepsi menunjukkan kejayaan capaian setiap objektif program PLKN melebihi 80 peratus.

“Pada 2013 kajian dibuat Universiti Malaysia Perlis membabitkan hampir 4,000 responden di lapan universiti seluruh negara bagi melihat keberkesanan bekas pelatih PLKN dan dapatan kajian itu menunjukkan daripada skor maksimum 10 bagi semua pencapaian objektif PLKN, program jati diri mencapai skor minimum 8.89 manakala patriotisme dengan skor 8.68. Ini menggambarkan PLKN tidak gagal dan tidak membazir.

“Tidak dinafikan PLKN melibatkan perbelanjaan yang tinggi namun skop latihan dan bilangan pelatih boleh disusun semula agar bersesuaian dengan kemampuan semasa kerajaan. Menghentikan terus PLKN bagi tujuan penjimatan perbelanjaan kerajaan boleh dianggap membazir kepada perbelanjaan logistik dan prasarana (PLKN) yang telah dibelanjakan selama ini oleh kerajaan atau swasta,” katanya.

Sumber: Bernama

Nur Syafiqah

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.