Siakap Keli
Gambar: Bernama

Selangor Catat Lima Kes Mangsa Keganasan Rumah Tangga Babitkan Suami

Selangor merekodkan lima kes keganasan rumah tangga membabitkan mangsa daripada golongan suami sepanjang tempoh 18 Mac sehingga 3 Mei lepas.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud berkata kesemua mangsa berumur antara 18 ke 60 tahun itu didera secara fizikal dan emosi oleh isteri.

“Mangsa bagi kelima-lima kes ini membuat laporan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan dan perlindungan kerana kita dapati ia berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada pemberita di lobi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Bagaimanapun kata Dr Siti Mariah, beliau percaya jumlah kes keganasan rumah tangga membabitkan mangsa dalam kalangan golongan suami di negeri ini sebenarnya melebihi daripada yang dilaporkan.

Katanya, ia berikutan kebanyakan mangsa tidak mahu tampil membuat laporan atas pelbagai sebab termasuk malu, tidak mahu digelar dayus serta masih menyayangi isteri mereka.

“Semasa PKP, saya juga menerima laporan seorang suami cedera di mata akibat ditumbuk isteri, tetapi kita hanya dapat bagi bantuan tempat perlindungan berikutan mangsa tidak mahu membuat laporan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mana-mana mangsa keganasan rumah tangga supaya tidak malu untuk tampil membuat laporan supaya bantuan susulan dapat diberikan oleh agensi berkaitan.

Sumber: BERNAMA

Aqmal Ezany

I write what is right